sukan

Piala Asia : Benteng Jepun Rapuh

Jepun perlu segera memastikan kemenangan selepas mendahului permainan dan kelemahan benteng pertahanan mereka sekali lagi terlihat ketika kemenangan ke atas Bahrain pada aksi 16 terakhir Piala Asia.

Jepun yang memburu kejuaraan kelima, dibolosi dalam keempat-empat perlawanan di kejohanan kali ini.

Gol sendiri ketika mendahului 2-0 memberikan Bahrain harapan untuk menyamakan kedudukan di peringkat kalah mati, tetapi skuad Samurai Biru memastikan kemenangan dengan keputusan 3-1.

Pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu berkata, pasukannya perlu memastikan kemenangan tanpa bolos jika mahu melebarkan rekod kejuaraan Piala Asia.

“Jelas sekali kami mahu kekal tanpa bolos di setiap perlawanan tetapi hari ini kami gagal melakukannya. Kami perlu cuba lagi pada perlawanan seterusnya,” kata Tomiyasu.

Walaupun pengendali Jepun, Hajime Moriyasu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, mereka belum tampil 100 peratus dan Tomiyasu turut bersetuju.

“Saya rasa kami belum berada di tahap terbaik. Kami sepatutnya melakukan dengan lebih baik hari ini, terutama di babak kedua.

“Kami perlu mengesahkan kemenangan ketika mendahului 2-0, tetapi kami memberi mereka harapan apabila dapat menjaringkan gol. Kami perlu mengawal permainan dengan lebih baik,” katanya.

sumber:- BH

Tomiyasu beraksi di posisi bek kanan untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal tetapi Moriyasu meletakkannya sebagai bek tengah selepas pemain 25 tahun itu pulih daripada kecederaan. – REUTERS