sukan

Piala Asia: Korea Selatan singkir Arab Saudi

Korea Selatan mara ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas menundukkan Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan penalti apabila aksi pusingan 16 terakhir itu terikat 1-1 selepas masa tambahan awal pagi tadi.

Penjaga gol Jo Hyeon Woo muncul wira Korea Selatan pada penentuan penalti itu apabila menafikan percubaan Sami Al-Naji dan Abdulrahman Ghareeb, sekali gus menghidupkan cabaran Taegeuk Warriors dalam pemburuan gelaran ketiga mereka.

Terdahulu dalam 90 minit permainan di Stadium Education City, pemain muda Abdullah Radif meletakkan Green Falcons di depan seminit selepas rehat, namun Cho Gue Sung menyamakan kedudukan pada minit kesembilan masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pada babak kedua, percaturan Roberto Mancini membawa masuk Radif menggantikan Saleh Al Shehri membuahkan hasil apabila pemain Al Shabab berusia 21 tahun itu tidak menunggu lama untuk membuka jaringan buat Arab Saudi pada minit ke-46.

Gol itu berpunca daripada gerakan di sebelah kiri, menyaksikan kapten Salem Al-Dawsari yang menerima hantaran, membuat tampanan cantik serta mengelirukan untuk Radif menyambar bola, sebelum dengan tenang melepaskan rembatan ke penjuru kanan yang gagal diselamatkan Hyeon Woo.

Asakan demi asakan membuahkan hasil buat Korea Selatan apabila berjaya menyamakan kedudukan ketika masa tambahan berbaki seminit, menerusi tandukan Gue Sung berpunca hantaran lintang Seol Young Woo.

Mohammed Kanno dan Saud Abdulhamid masing-masing tenang menyempurnakan dua penalti pertama Arab Saudi sebelum tendangan Al-Naji dan Ghareeb yang kedua-duanya menghala ke arah kiri gol bijak dibaca Hyeon Woo untuk menepis bola keluar.

Kapten Korea, Son Heung Min bersama Kim Young Gwon, Gue Sung dan Hwang Hee Chan menyempurnakan tugas dengan baik selepas tidak berdepan masalah menewaskan Ahmed Al-Kassar di pintu gol Arab Saudi.

sumber:- BH

Juara dua kali Korea Selatan akan bertemu juara 2015, Australia pada suku akhir di Stadium Al Janoub, Jumaat ini. – BERNAMA