sukan

Piala Asia: Jepun bergaya ke suku akhir

Juara Asia empat kali, Jepun mengesahkan slot ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas menjinakkan Bahrain 3-1 pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Al-Thumama, sebentar tadi.

Selaku pemenang, skuad ‘Samurai Biru’ akan berdepan Iraq atau Syria bagi perebutan tiket ke separuh akhir di Stadium Education City, Sabtu ini.

Keputusan ini menyaksikan Bahrain yang juga juara Kumpulan E menerima nasib sama seperti edisi 2019 apabila mara setakat ke pusingan 16 terbaik apabila tewas di tangan Korea Selatan.

Bahrain bermula dengan positif tetapi Jepun mula ‘panas’ selepas perlawanan memasuki minit ke-20 apabila mereka beberapa kali melancarkan gerakan yang mengancam kubu Bahrain.

Percubaan tepat pertama buat Bahrain hadir menerusi gerakan pantas pada minit ke-28 namun rembatan Ali Madan mudah diselamatkan penjaga gol Jepun, Zion Suzuki.

Selepas beberapa kali mengasak, percubaan jauh Seiya Makuma menggegar tiang Bahrain dan bola muntah lebih pantas disambar Ritsu Doan yang kemudiannya menewaskan Ebrahim Lutfalla untuk gol pembukaan Jepun pada minit ke-34.

Jepun menggandakan kelebihan menerusi Takefusa Kubo pada minit ke-48 selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringan terbabit meskipun ia terlebih dahulu dibatalkan kerana Kubo dikatakan berada dalam keadaan ofsaid.

sumber:- BH

Ayase Ueda membantu Bahrain kembali dalam perlawanan apabila jaringan sendirinya membolehkan Bahrain mengurangkan defisit pada minit ke-64 namun Ueda menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga Jepun pada minit ke-71. -AGENSI