sukan

Penyelesaian untuk masalah umur Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya ketika ini tidak perlu dirombak secara besar-besaran, sebaliknya perlu dikekalkan bagi menghadapi satu lagi kejohanan penting selepas ini.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, biarpun terdapat ramai ‘kuda tua’ dalam pasukan, faktor umur dan pengalaman masih ditagih untuk mereka menabur bakti dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun nanti.

“Umur salah satu faktor, tetapi ia diikuti oleh pengalaman. Untuk masa dan ketika ini, kita memerlukan kematangan dan pengalaman.

“Bagi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026 (Piala Asia 2027) sebaiknya yang sedia ada ini bermain kerana pendedahan di Piala Asia di Qatar itu membawa kepada penambah nilai untuk mereka.

“Untuk pusingan kelayakan ini, eloklah walaupun umur menjadi bualan tapi ia diikuti dengan pengalaman yang pemain itu ada.

“Tidak boleh buat rombakan terlalu besar kerana pengalaman yang kita dapat di Doha cukup berharga. Ini kerana mereka rasa kalah, sakit dan perit dan semua ini resipi yang perlu ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berpandangan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon boleh memberi tumpuan kepada pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) dan B-19 untuk melihat pemain yang berkualiti bagi diserapkan ke dalam pasukan.

Katanya, dalam skuad B-23 terdapat beberapa pemain yang boleh mendapatkan pendedahan awal seperti Mukhairi Ajmal, Ubaidullah (Shamsul), Saravanan Thirumurugan.

“Pemain ini boleh mendapatkan pendedahan lebih awal dan untuk mereka bermain di pentas tertinggi (bersama pasukan senior), mungkin belum lagi.

“Tetapi untuk jangka masa panjang, Pan-gon sudah boleh melihat skuad B-23 dan B-19. Yang ke bawah, projek pembangunan akan menjalankan tugas mereka untuk menyalurkan pemain terbaik ke peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, selain tiga nama itu, Pan-gon boleh memanggil beberapa lagi pemain dari skuad muda negara untuk berlatih bersama-sama pasukan utama bagi memberi pendedahan awal dan secara tidak langsung, pemain itu secara sendirinya akan meningkatkan lagi prestasi untuk berada sebaris bersama pemain Harimau Malaya.

sumber:- HM

Untuk rekod, ketika ini terdapat lebih 10 pemain berusia 30 tahun ke atas dan sekiranya Malaysia layak ke Piala Asia 2027, kemungkinan besar mereka tidak lagi bersama pasukan.