sukan

Panggilan bersama Malaysia sama seperti pergi berperang

Kehadiran ramai pemain berdarah kacukan yang ketika ini berada di Eropah dan layak beraksi buat skuad kebangsaan disifatkan sebagai satu perkembangan positif untuk senario bola sepak negara.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed sememangnya mengalu-alukan kedatangan pemain berdarah kacukan ini sekiranya mereka berminat untuk mewakili skuad negara dan memiliki nilai tambah untuk memperkasa skuad Harimau Malaya.

Namun Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM itu menegaskan kelompok pemain ini perlu melepasi ‘temu duga’ iaitu membuktikan betapa mereka memiliki semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi untuk membantu skuad Harimau Malaya.

“Kita gembira dengan adanya pemain berdarah kacukan di Eropah tetapi apa yang penting kita mahu pemain ini ada semangat nasionalisme yang tinggi, betul-betul bermain demi negara.

“Bukan setakat nak main dan pilih Malaysia sebagai pilihan kedua, jadi mereka bermain asal boleh sahaja. Kita nak mereka tunjukkan semangat seperti yang diperagakan pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya ketika ini.

“Bukan kita nak jual mahal tetapi kita mahukan pemain yang bersemangat dan berbangga menyarung jersi skuad kebangsaan, kita ibaratkan panggilan kebangsaan ini seperti pergi berperang jugalah,” kata Firdaus.

Dalam perkembangan lain, Firdaus turut tidak menganggap kehadiran pemain kacukan ini akan meminggirkan bakat tempatan kerana fokus utamanya adalah untuk membantu mengukuhkan lagi skuad kebangsaan di arena antarabangsa.

“Saya lihat kalau ada pemain kacukan ini akan jadi motivasi kepada pemain tempatan kerana mereka akan beri saingan sengit. Pemain tempatan takkan selesa jadi mereka pun akan berusaha keras untuk tingkatkan kualiti mereka.

“Masing-masing bersaing untuk tingkatkan kualiti jadi situasi ini secara tidak langsung memberikan manfaat kepada skuad kebangsaan kita,” katanya.

Terdahulu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Dr Zulakbal Abd Karim melihat badan induk itu wajar memujuk pemain berdarah kacukan yang ketika ini berada di Eropah untuk mewakili Harimau Malaya namun perlu bersedia sekiranya ‘pinangan’ mereka ditolak kelompok pemain terbabit.

Ini kerana FAM tidak seharusnya meletakkan harapan tinggi untuk mendapatkan khidmat mereka dan perlu menerima hakikat Malaysia sebagai ‘pilihan kedua’.

Sebagai rekod, bukan setakat pemain Barcelona B, Naim Garcia yang berdarah Sepanyol memiliki keturunan Malaysia tetapi ramai lagi pemain kacukan yang layak mewakili Harimau Malaya ketika ini sedang beraksi di luar negara.

sumber:- BH

Terima kasih kepada laman pencari bakat, frfuturetalents yang berjaya mengesan lambakan kelompok pemain itu dan pada usia yang muda dan boleh mengisi banyak posisi, situasi ini mampu memberi manfaat jangka panjang buat skuad kebangsaan.