sukan

“Saya sudah buat pilihan untuk melatih pasukan baharu” — K Devan

Jodoh K Devan bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) berakhir selepas kelab berkenaan tidak lagi menyambung kontraknya sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Kelab berkenaan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kontrak pengendali kelahiran Bahau berusia 62 tahun itu tidak disambung.

“Terima kasih kami ucapkan kepada ketua jurulatih Negeri Sembilan FC bagi musim 2023, K Devan. Beliau tidak akan bersama pasukan untuk musim 2024/2025.

“Devan bukanlah asing bagi skuad Hobin Jang Hobin dan selaku anak negeri, beliau kembali memimpin pasukan pada musim 2021 serta berjaya membawa Negeri Sembilan kembali ke saingan Liga Super secara merit setelah muncul sebagai juara Liga Perdana musim berkenaan.

“Dalam saingan Liga Super pula, Devan berjaya memimpin pasukan menduduki tangga keempat liga musim 2022 dan tangga kesembilan musim lalu,” katanya.

Sementara itu, Devan ketika dihubungi mengesahkan sudah mengetahui kedudukannya dan mengucapkan selamat maju berjaya buat skuad berkenaan.

“Saya sudah buat pilihan untuk melatih pasukan baharu, memang sebelum ini pun saya sudah terima tawaran cuma saya tak boleh umumkan keputusan ketika itu kerana mahu menunggu terlebih dulu keputusan daripada NSFC.

“Apabila NSFC sudah umum kontrak saya tidak disambung jadi saya buat pilihan. Tapi saya tak boleh nyatakan pasukan mana biar pihak pengurusan pasukan berkenaan mengumumkannya secara rasmi, tapi ia dalam Malaysia,” katanya yang akan memulakan tugas dengan pasukan baharu terbabit antara Februari dan Mac ini.

sumber:- BH

Setakat ini NSFC belum mengumumkan individu yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Devan, namun timbul khabar angin beberapa nama jurulatih tempatan berpengalaman dikaitkan dengan skuad berkenaan antaranya bekas jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz dan Wan Rohaimi Wan Ismail dari Kuala Lumpur.