sukan

Piala Asia : Gara-gara gaya rai jaringan Iraq tersingkir

Jordan menyingkirkan juara edisi 2007, Iraq 3-2 yang beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh 20 minit dalam aksi penuh dramatik sekali gus mara ke suku akhir Piala Asia 2023 di Qatar.

Kejayaan itu menyaksikan skuad bimbingan Hussein Ammouta memperbaiki pencapaian edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila mereka kandas di pusingan 16 terbaik di ‘tangan Vietnam.

Pada aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Jordan memiliki peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-23 namun percubaan solo Ali Olwan dinafikan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan.

Penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila tampil cemerlang apabila menepis keluar percubaan jauh Ibrahim Bayesh yang juga percubaan tepat pertama Iraq pada minit ke-35.

Kesilapan pemain Iraq yang gagal melakukan hantaran dengan kemas dipintas Yazan Al-Naimat dan gerakan solonya berjaya menewaskan Jalal untuk gol pendahuluan Jordan di penghujung babak pertama.

Bersambung babak kedua, Iraq menggandakan asakan dan jaringan penyamaan yang diburu muncul pada minit ke-68 menerusi penyudah Saad Natiq.

Iraq berdepan situasi suka dalam duka kerana meskipun bangkit mendahului menerusi Aymen Hussein pada minit ke-75 namun penyerang itu dilayangkan kad kuning kedua dipercayai susulan keraian jaringan yang tidak dibenarkan.

Kelebihan beraksi seorang pemain dimanfaatkan Jordan yang meledak dua gol pantas pada masa tambahan babak kedua menerusi Yazan Al Arab dan Nizar Al Rashdan sekali gus menghantar mereka ke suku akhir Piala Asia 2023.

Selaku pemenang, Jordan akan berdepan Tajikistan yang menyingkirkan UAE pada aksi suku akhir di Stadium Ahmad bin Ali, Jumaat ini.

sumber:- BH

Tajikistan mengesahkan tiket ke suku akhir hasil kemenangan 5-3 secara penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit perlawanan.