sukan

FAM akan bedah siasat

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan melakukan bedah siasat atau penilaian penuh terhadap prestasi keseluruhan skuad Harimau Malaya sepanjang Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan ia proses biasa seperti yang dilakukan dalam setiap pertandingan yang disertai skuad kebangsaan yang mana jurulatih akan membuat laporan kepada jawatankuasa terbabit.

Hamidin berkata, langkah itu bagi melihat dan memberi input apa penambahbaikan perlu dilakukan atau mengenal pasti mengapa punca keputusan tertentu dilakar skuad kendalian Kim Pan Gon.

“Itu adalah proses untuk mereka (barisan jurulatih) menerangkan dan mungkin ada cadangan daripada Pan Gon untuk penambahbaikan lagi.

“Namun, kita memang sudah bagi yang terbaik kepada pasukan kebangsaan termasuk juga kepada pasukan bawah 23 tahun dan yang lain kerana kita nakkan kejayaan.

“Saya selalu nyatakan kepada jurulatih dan mana-mana pasukan, bahawa kita sekarang ini nak ke tahap Asia dan kalau boleh satu hari nanti nak naik atas lagi. Jadi kita perlu perbaiki jika ada apa-apa kekurangan sama ada di dalam padang atau luar padang,” kata Hamidin.

Antara tumpuan utama bedah siasat itu nanti dijangka terarah kepada kekalahan dua aksi awal dalam Kumpulan E ketika menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) yang menyebabkan Harimau Malaya tersingkir awal.

Bagaimanapun, terdapat juga laporan yang bagus daripada skuad kebangsaan apabila Harimau Malaya menutup kempen Piala Asia mereka dengan keputusan luar jangka selepas mengikat pasukan gergasi, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan, kelmarin.

Selain itu, Hamidin tidak menganggap Harimau Malaya meraih kegagalan di Piala Asia 2023 walaupun terkandas di peringkat kumpulan.

“Kita perlu ingat daripada 24 pasukan Piala Asia, enam atau tujuh adalah pasukan Piala Dunia dan ini adalah barisan terbaik Asia. Harapan sebahagian penyokong tinggi dan apabila kalah, tercetusnya mengapa A, mengapa B mengapa C, tetapi kita perlu ingat dalam dua tahun lalu kita melonjak begitu tinggi.

sumber:_ BH

“Kita harap akan bangkit lebih kuat untuk kejohanan atau perlawanan akan datang. Jadi saya langsung tidak mengatakan ini satu kegagalan, banyak pengalaman yang pasukan dapat belajar dari sini dan saya kira pemain sedar, kita perlu perbaiki lagi mutu permainan kita,” katanya.