“Saya ikhlas dan kalau boleh nak serahkan segera motosikal pada dia (Derrick Gan).”
Demikian kata Ahmad Alhafiz Najmi, 33, individu yang bermurah hati mahu menghadiahkan motosikal jenis Honda RS150 yang dianggarkan bernilai RM6,000 kepada Derrick Gan yang sanggup menjual Yamaha Lc135 5s miliknya.
Menurutnya yang juga pemilik Ahmad Motorworks, keputusannya memberikan motosikal itu disebabkan semangat ditunjukkan Derrick Gan yang sanggup menjual motosikal miliknya demi mencari dana ke Qatar bagi memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya pada aksi Piala Asia 2023.
“Saya ini jenis yang mudah simpati pada orang. Apabila saya dapat tahu Derrick menjual motosikal bagi mencari dana untuk ke Qatar, saya tanpa fikir panjang nak berikan dia motosikal sebagai ganti.
“Kebetulan saya memang menjual motosikal terpakai, jadi ini hadiah daripada saya. Saya memang nak bantu dan ini bukan sekadar kandungan.
“Usaha ditunjukkan itu cukup menyentuh hati saya. Bagi saya, dia memiliki semangat kesukanan yang tinggi dan kecintaan terhadap tanah air. Malah, saya anggap dia mewakili suara rakyat Malaysia yang lain,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia tidak sabar untuk menyerahkan sendiri motosikal itu apabila pulang dari Sarawak pada Ahad ini.
“Saya sudah minta kakitangan saya menghubunginya. Cuma sekarang saya masih lagi berada di Sarawak, insya-Allah, Ahad balik ke Semenanjung.
“Isnin pula saya ada kerja, jadi Selasa saya uruskan penghantaran. Siap tukar nama dan geran. Kalau selepas ini Derrick nak jual balik motosikal ini pun tidak ada masalah. Ia sudah menjadi hak milik sendiri.
“Terima kasih semua, rezeki tuan badan. Bagi saya, Derrick tidak patut hanya diberi pujian, dia layak diberi penghargaan,” katanya.
Terdahulu, Derrick mencuri perhatian apabila berkongsi menjual motosikal miliknya bagi mencari dana ke Qatar.
sumber:- HM
Malah, dia menjadi tular selepas menangis ketika Malaysia mengikat keputusan seri 3-3 menentang Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan E, Piala Asia, semalam.