sukan

Punca Zii Jia tarik diri di suku akhir

Kempen pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia di Masters Indonesia berakhir di suku akhir hari ini.

Ia selepas pemain berusia 25 tahun itu terpaksa menarik diri sebaik berakhir set pertama yang menyaksikannya tewas 14-21 ketika bertemu pemain Kanada, Brian Yang.

Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) dalam kenyataan di laman X berkata pemain negara itu terpaksa mengambil keputusan berkenaan susulan keadaan tubuh badannya yang tidak mengizinkan akibat mengalami keracunan makanan sejak beberapa hari lalu.

“Zii Jia cuba untuk menampilkan prestasi terbaiknya tetapi tidak dapat untuk menamatkan perlawanan menentang Brian Yang,” kata kenyataan itu.

Keputusan itu pastinya mengecewakan kerana Zii Jia yang juga pemain ranking ke-10 dunia dilihat berpeluang cerah melangkah ke separuh akhir Masters Indonesia.

Ini kerana, berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia tidak pernah tewas kepada Brian dalam kesemua lima perlawanan.

sumber:- SA

Keputusan Zii Jia itu menyaksikan cabaran Malaysia di Masters Indonesia kali ini berakhir selepas dua lagi wakil negara iaitu beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut terkandas di suku akhir.