sukan

Komen legenda Malaysia isu ‘tangan ghaib’

“Apabila menang, tiada tangan ghaib. Kalau kalah, ada tangan ghaib pula,” kata legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Bekas pertahanan skuad kebangsaan itu menegaskan spekulasi wujudnya campur ‘tangan ghaib’ tidak seharusnya ‘dipanaskan’ penyokong dengan beliau percaya pemilihan pemain ke skuad Piala Asia 2023 dibuat sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan Gon.

“Tiada tangan ghaib kerana sekarang kita lihat, 100 peratus pemilihan dibuat Pan Gon dan dia (Pan Gon) pun bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa kelemahan dan kekalahan pasukan negara.

“Jadi kenapa kita nak katakan ada tangan ghaib pula? Bagi saya, ini hanyalah satu sensasi daripada netizen di mana apabila kalah, macam-macam alasan yang dikatakan. Waktu menang dulu, tidak timbul pula isu sebegini.

“Kalau tiada bukti, sekadar dengar cakap-cakap orang ataupun khabar angin semata-mata, kita tolak tepilah. Apa yang penting adalah kita nak lihat skuad kebangsaan ini terus meningkat walaupun perjalanan kita sudah berakhir di Piala Asia 2023,” kata Jamal.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan dua kekalahan berturut-turut Harimau Malaya dalam Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 sebelum ini sekali lagi mencetuskan dakwaan bahawa terdapat campur tangan luar atau ‘tangan ghaib’ dalam skuad itu.

Malah, dakwaan itu juga menyebabkan pasukan Harimau Malaya termasuk beberapa pemain menerima kritikan khususnya yang dibuat oleh peminat.

sumber:- BH

Pan Gon bagaimanapun dilihat enggan memikirkan mengenai perkara luar padang, sebaliknya lebih memberi fokus untuk pasukannya meraih keputusan positif.