Faisal Halim mengakui pernah terdetik bimbang dengan peningkatan mendadak skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa sejak dua tahun lalu.
Menurut pemain utama kendalian Kim Pan-gon itu, peningkatan pasukan kebangsaan termasuk kejayaan menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia 2023 dan peningkatan ranking dunia sememangnya cukup membanggakan.
Namun katanya, dia tetap menyimpan satu perasaan bimbang di mana harapan peminat terlalu tinggi hingga ada yang tidak dapat menerima kekalahan terutamanya di saingan Piala Asia membabitkan pasukan handalan benua ini.
“Tak silap, saya ada komen selepas perlawanan dengan Kyrgyzstan ketika Kelayakan Piala Dunia, saya kata saya amat risau kerana pasukan kita berada terlalu jauh (meningkat).
“Tapi bila dalam situasi sekarang ini (di Piala Asia), semua orang tak boleh menerima pandangan terhadap kekalahan pasukan kita.
“Sebab saya risau kerana kita meningkat…meningkat dan meningkat, memberi harapan yang tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Harapan yang tinggi kepada penyokong kita dan apabila pasukan dia berada dalam tahap sedemikian, semua orang tak dapat menerima.
“Akhirnya berbalik kepada pemain sendiri. Memang kita pun tak sangka benda ini berlaku.” katanya yang kecewa skuad negara tidak mampu melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Asia di Qatar.
Sepanjang saingan edisi ke-18 itu, Malaysia tewas dalam dua perlawanan peringkat Kumpulan E di tangan Jordan dan Bahrain sekali gus sah tersingkir daripada perebutan ke pusingan 16 terbaik.
Untuk rekod, sebelum kejohanan Piala Asia itu bermula, anak buah Pan-gon dilihat sebagai pesaing yang mampu melepasi peringkat kumpulan ekoran prestasi mantap dalam beberapa aksi persahabatan pada musim lalu.
Ia termasuk kejayaan menewaskan pasukan di ranking 100 dunia ke atas iaitu Kyrgyzstan serta hampir mengejutkan China dan Syria dengan mengikat pasukan itu.
Biarpun harapan untuk ke peringkat kalah mati di Piala Asia sudah terkubur, namun pemain Selangor FC itu tidak mahu rakan sepasukannya patah semangat kerana masih mempunyai misi yang perlu dilunaskan di Kelayakan Piala Dunia 2026 pada Mac ini.
“Apa yang kita boleh buat sekarang kita fokus, teruskan perjuangan dan kita masih ada yang lebih penting untuk kelayakan Piala Dunia,” katanya.
sumber:- HM
Mac ini, pasukan akan mengalih tumpuan menentang Oman untuk aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026, di mana Malaysia berada di tangga pertama selepas menyapu bersih enam mata daripada dua aksi dilalui setakat ini.