sukan

Reaksi Pan Gon selepas ditanya Dakwaan wujud ‘tangan ghaib’

“Saya tak peduli. Saya dah buktikan sejak dua tahun lalu pasukan meraih keputusan positif.”

Itu nada tegas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon apabila ditanya adakah benar wujudnya ‘tangan ghaib’ dalam menentukan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya di Piala Asia ketika ini.

Jelas Pan-gon, sejak dirinya membimbing pasukan kebangsaan pada Mac 2022 lalu, beliau berjaya memacu pasukan mencatat 18 kemenangan dalam 28 perlawanan termasuk layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

“Saya tak peduli…saya tak peduli. Kami sudah meningkat beberapa tahun lalu untuk menunjukkan prestasi terbaik kami.”Jadi saya tidak kisah…saya hanya melihat ke hadapan. Tak perlu mengendahkan pintu di belakang (dakwaan mengenai tangan ghaib).

“Pagi ini saya ada bercakap dengan pemain, pasukan akan terus berjuang sebaik mungkin bagi membanggakan penyokong dan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang aksi bertemu Korea Selatan di Stadium Al Janoub, esok.

Sebelum ini, wujud dakwaan segelintir netizen di media sosial yang mengaitkan kesilapan taktikal Pan-gon ketika menentang Jordan dan Bahrain disebabkan campur tangan pihak luar.

Dakwaan itu dibangkitkan terutama ketika tindakan Pan-gon membawa masuk Natxo Insa pada separuh masa kedua yang menyaksikan momentum pasukan menurun hingga menyebabkan Malaysia tewas 0-1 menerusi jaringan lewat pemain Bahrain.

Netizen mempersoalkan kemasukan Natxo yang disifatkan tidak cergas selain faktor usia yang sudah menjangkau 36 tahun, berbanding Brengan Gan yang lebih ampuh di bahagian tengah.

Untuk rekod, aksi berdepan Korea Selatan sudah tidak membawa apa-apa makna buat skuad Harimau Malaya yang sudah pun tersingkir.

Walaupun jika mampu menewaskan skuad Taegeuk Warriors dan Bahrain pula tewas kepada Jordan, ia tetap tidak bermakna kerana format pertandingan yang menggunakan format ‘head to head’ sebagai penentu dan bukannya perbezaan jaringan.

sumber:- HM

Malaysia tewas dua aksi kumpulan masing-masing di tangan Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus gagal meraih sebarang mata untuk berada di tangga tercorot Kumpulan E.