sukan

Mahu tewaskan Korea Selatan buat kali kedua

Mungkinkah ‘tragedi’ 2018 bakal kembali menghantui Korea Selatan yang pernah diaibkan skuad Harimau Muda ketika itu?

Demikian harapan menggunung diidamkan barisan skuad Harimau Malaya terutama pemain sayap negara, Safawi Rasid apabila mengakui mahu mengulangi kejayaan menundukkan Korea Selatan pada temasya Sukan Asia di Indonesia pada 2018.

Pada waktu itu, skuad negara yang dibarisi pemain Bawah 23 Tahun (B-23) berjaya meruntuhkan ‘ego’ skuad Taegeuk Warriors dengan kemenangan 2-1 apabila Safawi meledak kedua-dua gol buat kem negara.

Biarpun Korea Selatan diperkuatkan kehadiran penyerang sensasi Son Heung-min yang beraksi untuk Tottenham Hotspur di Liga Perdana Inggeris (EPL), ia tetap tidak menghalang Malaysia melakar kemenangan.

Lantas, semangat sama mahu dibawa Safawi apabila skuad kendalian Kim Pan-gon turun menentang pasukan di tangga ke-23 dunia itu dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, di sini, esok.

Menurut Safawi, tidak mustahil ‘dejavu’ boleh berlaku dengan dia meletakkan sepenuh keyakinan kepada Pan-gon dalam merangka strategi paling ampuh untuk memerangkap Heung-min dan rakan sepasukannya.

“Pada 2018 pasukan B-23 berjaya mencipta salah satu sejarah bola sepak kita.

“Jadi tak mustahil untuk perlawanan nanti kami akan lakar sejarah untuk ke atas Korea.

“Kami tengok keputusan lawan Jordan, mereka seri dan perlawanan pertama (Korea Selatan lawan Bahrain) mereka menang 3-1. Jadi saya percaya dengan maklumat dan taktikal jurulatih, InsyaAllah kami boleh lakukan.

“Satu keputusan positif (diburu), dan bukan satu perkara mustahil untuk kami cuba dapat,” katanya yang bersedia memberi 100 peratus komitmen seandainya diturunkan Pan-gon dalam perlawanan itu nanti.

Berdasarkan rekod pertemuan kompetitif babitkan skuad senior kedua-dua pasukan, Malaysia dan Korea Selatan sudah bertemu sebanyak 45 kali sejak 1953 dengan skuad kebangsaan hanya mampu mencatat kemenangan tujuh kali dan seri sembilan kali, dengan selebihnya tumbang 29 kali.

Kali terakhir pasukan negara merasai nikmat kemenangan adalah pada 1985 dalam Kelayakan Piala Dunia apabila jaringan tunggal Dollah Salleh membuatkan Korea Selatan pulang ke Seoul dengan kekecewaan.

Begitupun selepas itu, Malaysia tidak pernah menewaskan jaguh Asia yang sudah 11 kali beraksi di Piala Dunia itu sehinggalah pada 2018 anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sensasi babitkan pasukan B-23 di temasya Sukan Asia (format pertandingan mengehadkan usia B-23) itu.

Menurut Safawi, biarpun sudah tersingkir dari kempen kali ini, namun beliau dan rakan sepasukan tetap bersemangat kerana tidak mahu pulang ke tanah air dengan tangan kosong.

sumber:- HM

“Bagi saya kami ada 90 minit dan akan cuba untuk calarkan reputasi mereka. Itu sasaran kami demi maruah negara Malaysia.”Oleh itu, kami mahu bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan itu nanti,” katanya.