sukan

Cristiano Ronaldo mohon maaf kepada peminat

Kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr menangguhkan dua perlawanan di Jelajah China kerana penyerang itu cedera, umum kelab Arab Saudi itu, hari ini.

Ia menimbulkan kesangsian mengenai pembabitan bintang Portugal itu menjelang perlawanan dengan kelab diwakili Lionel Messi, Inter Miami.

Al-Nassr dijadualkan berdepan Shanghai Shenhua pada hari ini dan Zhejiang, empat hari lagi dan kedua-dua aksi itu ditangguhkan.

“Kami mahu menamatkan kem latihan seperti dirancang di Shenzhen, iaitu bandar yang menyambut baik kami dan menunjukkan rasa cinta tinggi kepada kami dan kapten,” kata Al-Nassr dalam satu kenyataan.

“Justeru, kami setuju dengan penganjur untuk membuat jadual semula perlawanan baharu secepat mungkin.”

Ronaldo, 38, memohon maaf kepada peminatnya sambil mengesahkan dia berdepan masalah kecergasan.

“Saya bermain selama 22 tahun dan seorang pemain yang tidak kerap cedera. Jadi, saya sangat sedih kerana Al-Nassr dan saya sendiri mahu ke China menikmati jelajah itu,” kata Ronaldo.

“Kami tidak membatalkan perlawanan itu, kami mahu adakannya semula dan kembali ke sini. Malangnya, saya ada masalah, tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan hidup saya.”

sumber:- HM

Menurut laporan media tempatan, Ronaldo yang berada di Dubai minggu lalu untuk menerima tiga anugerah di Anugerah Bolasepak Globe, tidak berlatih bersama Al-Nassr sejak awal minggu ini.