sukan

Ranking Korea Selatan ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan Malaysia

Kekalahan 0-1 kepada Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E bukan sahaja menutup ‘jalan’ untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023.

Malah, keputusan di Stadium Jassim bin Hamad itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon melepaskan peluang terbaik untuk mendapatkan mata dan lebih parah, mereka ketika ini berisiko pulang dengan tangan kosong.

Apa tidaknya, skuad negara hanya memiliki baki satu perlawanan sahaja lagi untuk sekurang-kurangnya mendapatkan mata ‘saguhati’ daripada Piala Asia di Qatar.

Namun, barisan pemain negara kini berada dalam situasi yang amat sukar untuk merealisasikan perkara itu kerana mereka bakal berdepan cabaran terbesar dalam Kumpulan E apabila menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.

Berstatus pasukan nombor tiga Asia dan berada di ranking ke-23 dunia, reputasi dimiliki Korea Selatan dilihat ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan Malaysia yang menghuni tangga ke-130 dunia.

Bagi saingan Piala Asia kali ini, skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu mengalahkan Bahrain 3-1 dalam aksi pertama dan terikat 2-2 dengan pasukan yang membelasah Harimau Malaya 4-0, Jordan.

Related Post

Ia jelas menunjukkan betapa skuad Taegeuk Warriors lebih kuat dari Bahrain, sekali gus mencetuskan persoalan adakah Harimau Malaya mampu melakar kejutan terbesar selepas tewas kepada Bahrain dan Jordan.

Klinsmann juga pasti akan menurunkan skuad terkuat berdepan Malaysia kerana mereka memerlukan kemenangan besar untuk mengesahkan gelaran juara Kumpulan E dan mengelak lawan sukar di pusingan 16 terakhir.

Oleh sebab itu Harimau Malaya ketika ini berdepan potensi mengulangi pencapaian buruk gagal meraih sebarang mata ketika beraksi selaku tuan rumah Piala Asia 2007.

sumber:- BH

Untuk rekod, Malaysia meraih satu mata pada penampilan pertama di Piala Asia 1976 dan membawa pulang empat mata ketika edisi 1980 walaupun terkandas di peringkat kumpulan.