sukan

Piala Asia: “malu dan terkejut” — Pengendali Jepun

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu berkata beliau “malu dan terkejut” melihat penjaga golnya Zion Suzuki menjadi subjek kecaman perkauman di media sosial selepas mereka kalah aksi kedua kumpulan Piala Asia menentang Iraq minggu lalu.

Iraq meraih kemenangan pertama mereka ke atas Jepun dalam tempoh 42 tahun apabila menang 2-1 selepas kesilapan Suzuki membolehkan Aymen Hussein menyumbat gol pembukaan.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang memiliki bapa berdarah Ghana-Amerika dan ibu warga Jepun, berkata dia sedia menerima kritikan terhadap prestasinya tetapi mahu setiap orang berhenti memberi komen mengenai bangsanya.

“Bagi pemain berharga kami Suzuki, saya berasa amat malu dan terkejut kerana dia menjadi mangsa diskriminasi perkauman. Saya akan menyokongnya dalam apa cara sekalipun untuk memastikan dia menumpukan perhatian sepenuhnya dan fokus,” kata Moriyasu kepada wartawan hari ini.

“Saya fikir ini tidak boleh berlaku dalam apa jua keadaan. Mereka harus menghormati hak asasi manusia, ia tidak boleh berlaku dalam dunia yang pelbagai. Kita hidup dalam dunia yang mana perkara ini mungkin berlaku tetapi menerusi bola sepak kita mesti bergabung bersama.”

Jepun mahu bangkit daripada kekalahan itu apabila berdepan Indonesia malam esok dengan kedua-dua pasukan meraih tiga mata, di belakang pendahulu kumpulan Iraq yang sudah layak ke pusingan 16 terakhir dengan enam mata.

Moriyasu bertanggungjawab sepenuhnya susulan kekalahan di tangan Iraq dan berkata beliau akan mendapatkan pandangan pemain dan stafnya sebagai persediaan bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Saya cuba mendengar pandangan pemain dan staf saya sebanyak mungkin. Saya terbuka dengan sesiapa sahaja. Saya cuba untuk memikirkan pandangan mereka juga,” katanya.

“Tetapi apabila kami membuat keputusan sebagai satu pasukan saya tahu saya adalah pembuat keputusan. Namun ia bukannya tugas sukar buat saya selepas mendengar pendapat mereka.”

Pemain pertahanan Jepun, Takehiro Tomiyasu berkata objektif utama mereka adalah untuk tidak dibolosi sesudah melepaskan dua gol dalam kedua-dua perlawanan menentang Vietnam dan Iraq, menambah pemain senior perlu tampil memberi tunjuk ajar.

sumber:- BH

“Kami perlu belajar daripada kesilapan menentang Iraq,” kata pemain pertahanan Arsenal itu. – REUTERS