sukan

Lebih ramai jurulatih di luar sana — Faisal Halim

Pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim berharap kritikan hebat yang diberikan segelintir penyokong tidak mengganggu fokus pemain menjelang aksi berdepan Korea Selatan, Khamis ini.

Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan kritikan yang diterima itu sebagai perkara biasa apabila pasukan tidak mendapat keputusan yang diinginkan dalam perlawanan.

“Kritikan perkara biasa, apabila kita menang semua bagus dan apabila kita kalah macam-macam (kritikan). Lebih ramai jurulatih di luar sana, tapi sebagai pemain kami kena terima apa orang nak kata.

“Mereka ada hak untuk menilai dan beri pendapat, tapi mereka tak ada hak untuk buat keputusan. Saya harap semua rakan sepasukan dapat mengatasi kritikan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Aksi ketiga bagi Kumpulan E berdepan Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini menjadi perlawanan terakhir skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asia 2023.

Skuad kendalian Kim Pan Gon sudah tersingkir daripada persaingan merebut tempat ke pusingan 16 terakhir selepas tewas 0-1 kepada Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu lalu.

sumber:- BH

Susulan daripada itu, skuad Harimau Malaya menerima kritikan daripada sesetengah pihak dengan pemain tengah, Natxo Insa menjadi antara pemain yang dikritik hebat oleh penyokong.