sukan

Komen Pan Gon aksi berdepan Korea Selatan

Skuad Harimau Malaya memerlukan aksi luar biasa sekiranya mahu mencipta keputusan lebih positif berdepan gergasi Asia, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.

Selepas dua perlawanan, skuad kendalian Kim Pan Gon gagal meraih sebarang mata apabila tewas kepada Jordan dan Bahrain, sekali gus tersingkir dari perebutan tiket ke pusingan 16 terakhir.

Meskipun aksi terakhir Kumpulan E berdepan Korea Selatan itu hanya pelengkap jadual, namun Pan Gon menjelaskan pasukannya tetap akan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu.

“Kami sedar yang kami akan menentang pasukan gergasi (seperti Korea Selatan), tetapi kami mesti bertarung. Kami datang ke sini untuk menunjukkan bahawa kami layak berada di sini.

“Namun, kami masih lagi perlu belajar, menyemak serta mengimbangi apa yang perlu kami lakukan untuk masa depan,” katanya.

Peluang untuk skuad Harimau Malaya lolos ke pusingan kalah mati tertutup rapat selepas tewas tipis 0-1 kepada Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, Sabtu lalu.

Selain itu, Pan Gon tetap memuji barisan pemainnya yang bekerja keras untuk mendapatkan keputusan lebih baik sebelum terpaksa akur perjalanan mereka tersekat di peringkat kumpulan.

Katanya, pendekatan mengawal dan mendominasi perlawanan sentiasa menjadi fokus buat Harimau Malaya dalam usaha membina skuad yang lebih mantap.

“Sekurang-kurangnya pemain menunjukkan kepada orang ramai mentaliti Malaysia dan sikap tidak pernah berputus asa sejak perlawanan dengan Jordan. Ia akan diteruskan hingga aksi terakhir (menentang Korea Selatan).

sumber:- HM

“Dalam dua tahun kebelakangan ini, apa yang kami lakukan, bergerak ke hadapan dan berjaya menunjukkan kami mampu mencabar pasukan di kelompok 100 teratas. Kami mengawal dan mendominasi, itulah yang kami mahu lihat,” katanya.