sukan

Teruk Natxo Insa kena

Pemain tengah skuad kebangsaan, Natxo Insa menjadi sasaran utama kritikan peminat susulan kekalahan 0-1 Harimau Malaya kepada Bahrain dalam aksi Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad, semalam.

Insa yang juga pemain paling berusia dalam skuad Harimau Malaya ketika ini masuk menggantikan Syamer Kutty Abba pada babak kedua perlawanan itu.

Bagaimanapun, penyokong Harimau Malaya dilihat kurang berpuas hati dengan persembahan pemain berusia 38 tahun itu dengan ada yang menganggap dia gagal memberi impak seperti yang dilakukan Syamer sepanjang babak pertama.

Susulan daripada itu, pelbagai komen negatif dilemparkan penyokong terhadap Insa di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain Insa, beberapa pemain Harimau Malaya yang lain turut tidak terkecuali menjadi bahan kritikan peminat di media sosial selepas skuad negara sah tersingkir dari Piala Asia yang sedang berlangsung di Qatar.

Bagaimanapun, terdapat juga peminat yang tetap memberikan kata-kata semangat kepada skuad kendalian Kim Pan Gon meskipun mereka gagal melepasi saingan peringkat Kumpulan E.

Kekalahan kepada Bahrain adalah kekalahan kedua dialami skuad negara selepas dibelasah Jordan 0-4 dalam aksi pertama di Stadium Al Janoub, Selasa lalu.

Skuad negara seterusnya akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan berdepan pasukan pilihan, Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.

Harimau Malaya berada di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata manakala Bahrain mengumpul tiga mata untuk berada di kedudukan ketiga.

sumber:- BH

Jordan dan Korea Selatan yang terika 2-2 dalam aksi, semalam berkongsi empat mata dan menghuni dua kelompok teratas Kumpulan E.