sukan

Risiko punca Kim Pan-gon keluarkan Syamer Kutty

Keputusan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengeluarkan Syamer Kutty Abba pada awal separuh masa kedua dan memasukkan Natxo Insa adalah disebabkan taktikal.

Perkara itu diakui Syamer yang menjelaskan Pan-gon terpaksa membawanya keluar pada babak kedua selepas dia menerima kad kuning pada separuh masa pertama.

Katanya, biarpun dia beraksi baik sepanjang 45 minit pertama namun risiko dilayangkan kad kedua boleh berlaku dan boleh mendatangkan masalah lebih besar.

“Itu taktikal dan keputusan jurulatih. Saya hormati apa yang jurulatih tentukan selepas saya berikan pada 45 minit.

“Tapi mungkin sebab kesilapan mudah yang saya buat hingga dapat kad kuning. Kadang saya buat keputusan yang tidak tepat atau mungkin betul tapi inilah bola sepak.

“Tapi ini adalah benda yang baik untuk saya belajar jadi lebih baik lepas ini,” katanya.

Dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia itu, Malaysia tumbang 0-1 di tangan Bahrain yang berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad, di sini, malam tadi.

Gol kemenangan Bahrain itu dihasilkan pada lewat permainan menerusi percubaan Ali Madan sekali gus meranapkan impian pasukan negara untuk melangkah jauh dalam kempen ini.

Kekalahan itu menyebabkan anak buah Pan-gon ‘bungkus awal’ selepas turut kalah 0-4 kepada Jordan pada aksi pertama sebelum ini.

Ekoran kekalahan itu, Pan-gon dikritik hebat oleh netizen di media sosial apabila menyalahkan jurulatih Korea Selatan itu yang menukarkan Syamer dengan Natxo Insa pada babak kedua.

sumber:- HM

Kemasukan Natxo langsung tidak membawa impak malah tempo permainan pasukan negara lebih perlahan selain hilang penguasaan di bahagian tengah yang di dominasi Bahrain di babak kedua.