sukan

Piala Asia : Indonesia cipta kejutan dan cerahkan peluang untuk mara

Pasukan Indonesia meletakkan sebelah kaki dalam usaha mara ke peringkat 16 terbaik selepas menewaskan Vietnam 1-0 pada aksi kedua Kumpulan D saingan Piala Asia 2023 sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Abdullah bin Khalifa itu, kedua-dua pasukan dilihat terdesak bagi meraih kemenangan selepas tewas pada aksi pembukaan awal minggu ini.

Meskipun mendominasi penguasaan bola, skuad Sang Garuda dilihat lebih tajam untuk melakukan serangan balas pantas dan berjaya melakukan beberapa percubaan di kuba Vietnam yang menduduki ranking ke-94 dunia itu.

Gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-43 selepas kapten, Asnawi Mangkualam meledak gol menerusi sepakan penalti sebelum berakhir babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Vietnam yang dikendalikan oleh Philippe Troussier semakin terdesak untuk mencari gol penyamaan dengan Indonesia lebih banyak bertahan.

Nasib pasukan Vietnam bertambah malang apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain apabila Le Pham Thanh Long dilayangkan kad merah pada minit ke-90 dengan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut mencerahkan peluang Indonesia untuk melakar sejarah mara ke pentas kalah mati buat kali pertama dalam sejarah Piala Asia.

Situasi ini disebabkan Jepun tewas mengejut 1-2 kepada Iraq sekali gus menyaksikan jaguh Asia Barat itu terlebih dahulu mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik.

Skuad kendalian Shin Tae-yong itu dijadualkan bertemu Jepun manakala Vietnam akan menentang Iraq pada aksi terakhir kumpulan minggu depan.