sukan

Mungkin piala Asia Terakhir

Pentas pusingan akhir Piala Asia 2023 memberi makna yang besar kepada skuad Harimau Malaya terutama apabila melakar sejarah layak secara merit buat kali pertama selepas 43 tahun.

Malah, kejohanan yang sedang berlangsung di Doha, Qatar itu mungkin juga menjadi pentas Piala Asia yang terakhir buat beberapa pemain bintang skuad negara yang sudah berusia.

Melihat kepada senarai pemain skuad ketika ini, beberapa pemain sudah berumur melebihi 30 tahun dengan Natxo Insa muncul pemain paling berusia iaitu 38 tahun diikuti Brendan Gan (36), Paulo Josue (35), Darren Lok (34), La’vere Corbin Ong (33), Junior Eldstal (33), Daniel Ting (32), Ahmad Khuzaimi Piee (31) dan Shahrul Saad (31).

Justeru ada di antara pemain yang terfikir bila lagi Malaysia akan layak ke Piala Asia dan adakah mereka masih berpeluang menyarung jersi keramat Harimau Malaya di pentas tertinggi Asia dengan yang paling terdekat edisi 2027 di Arab Saudi.

Perasaan itu turut bermain di fikiran tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad meskipun usianya kini 31 tahun dan dianggap masih ada peluang untuk beraksi seandainya Malaysia layak ke Piala Asia 2027.

Shahrul atau lebih dikenali sebagai Badak menegaskan, sebab itu dia sangat mengharapkan dapat melakar sesuatu detik yang manis bersama pasukan negara dalam Piala Asia di Qatar.

“Sebagai pemain, mesti kita nak dapatkan sesuatu untuk diri kita sendiri dan saya merasakan tahun ini mungkin tahun terakhir saya bermain untuk kempen Piala Asia.

“Kita tak tahu lagi untuk edisi yang akan datang, umur saya pun sudah bertambah dan saya tak pasti lagi keadaan macam mana. Selagi kami mampu buat yang terbaik, kami akan bagi segala-galanya,” katanya.

Pada Jun 2022, Harimau Malaya yang dibimbang pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon menamatkan penantian lebih empat dekad untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit.

sumber:- BH

Kali terakhir skuad negara mara secara merit adalah pada edisi 1980 dan selepas itu Harimau Malaya beraksi atas tiket selaku tuan rumah pada 2007.