sukan

Fazli dalam dilema antara 3 pasukan

Bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, berada dalam dilema untuk memilih pasukan baharunya selepas mendapat tawaran daripada tiga pasukan yang mahukan khidmatnya pada musim ini.

Jelas pemain meningkat naik berusia 26 tahun itu, tawaran berkenaan diterimanya bermula akhir musim lalu selepas kontraknya tidak disambung pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd pada tahun ini.

Kata pemain kelahiran Kelantan yang menjadikan penyerang kebangsaan Perancis, Karim Benzema sebagai idolanya, tawaran berkenaan datang daripada sebuah pasukan dari Utara, Pantai Timur dan Pantai Barat.

Bagaimanapun pemain yang mendapat enam tawaran pada 2022 sebelum memilih untuk kekal bersama TFC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada tahun lalu menjelaskan dia akan pilih pasukan yang tidak berdepan sebarang masalah selain skuad itu beraksi di pentas Liga Super musim ini.

“Alhamdulillah masih ada lagi pasukan yang mahukan khidmat saya walaupun tidak banyak sebagaimana musim lalu, setakat ini ada tiga tawaran iaitu masing-masing sebuah pasukan dari Utara, Pantai Barat dan Pantai Timur.

“Buat masa ini saya belum membuat sebarang keputusan kerana masih memikirkan lagi pasukan mana yang bakal menjadi destinasi kerana semua tawaran itu menarik selain tiga pasukan itu sudah merisik sejak tahun lalu lagi.

“Namun sejujurnya saya akan pilih pasukan yang tidak berdepan masalah terutama berkaitan pembayaran gaji pemain selain pasukan berkenaan beraksi dalam saingan Liga Super.

sumber:- HM

“Satu lagi saya tidak rela lagi menjadi pemain simpanan, sebaliknya mahu tampil dengan aksi terbaik dan berkerja keras bersama pasukan baharu untuk mendapat lebih minit permainan bagi memastikan saya dapat kembali ke prestasi sebenar, Insya-Allah saya akan berusaha untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” katanya ketika dihubungi.