sukan

Komen pengendali Bahrain aksi berdepan Malaysia

Ketua jurulatih Bahrain, Juan Antonio Pizzi melabel Malaysia sebagai bukan lawan yang mudah menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad, malam esok.

Atas kertas, Bahrain tampil sebagai pasukan pilihan bagi aksi kedua Kumpulan E itu berdasarkan kedudukan mereka di tangga ke-86 dunia berbanding Harimau Malaya di kedudukan 130.

Justeru, pengendali dari Argentina itu meminta barisan pemainnya untuk tidak memandang mudah kemampuan skuad kendalian Kim Pan Gon yang turut dahagakan kemenangan selepas tewas aksi pertama kepada Jordan.

“Sudah pasti kami membuat analisis mengenai pasukan Malaysia termasuk melihat aksi mereka berdepan Syria dalam aksi persahabatan dan yang terbaharu menentang Jordan.

“Jadi ia bukan perlawanan yang mudah dan kami menghormati setiap pasukan lawan. Kedua-dua pasukan memiliki impian sama untuk ke pusingan kalah mati, kami harus fokus 100 peratus.

“Penting bagi kami untuk memastikan moral semua pemain berada pada tahap terbaik kerana kami memerlukan kemenangan berdepan Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Bahrain dan Malaysia menghuni dua kedudukan tercorot Kumpulan E tanpa sebarang mata selepas masing-masing tewas dalam aksi pertama sebelum ini.

sumber:- BH

Bahrain tewas 1-3 kepada Korea Selatan manakala Harimau Malaya dibelasah Jordan 0-4, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terdesak untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik.