sukan

Jaringan awal yang penting

Memburu jaringan awal menjadi antara perancangan Harimau Malaya apabila berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, Sabtu ini.

Seandainya perancangan itu menjadi kenyataan, skuad negara dilihat berpeluang untuk meraih keputusan positif ketika anak buah Kim Pan Gon membawa misi wajib menang di Stadium Jassim bin Hamad.

Tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad menjelaskan barisan pemain akan berusaha untuk mendapatkan jaringan awal yang mana ia mampu menaikkan moral keseluruhan skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 30 tahun itu menegaskan Harimau Malaya berada di Qatar bukan hanya untuk memenuhi jadual, sebaliknya dahagakan sesuatu yang membanggakan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Betul, itu (dapatkan gol awal) mungkin satu perancangan yang kami inginkan. Jika dapat jaringkan gol awal, ia beri lebih semangat kepada pasukan. Kami memang harapkan sesuatu apabila menentang Bahrain dan kami tidak akan berputus asa.

“Semua pemain berada dalam keadaan yang baik. Kami percaya antara satu sama lain dan kami masih ingin berikan sesuatu untuk terus bertahan dalam pertandingan ini,” katanya.

Malaysia dan Bahrain kini menghuni dua kedudukan terbawah dalam Kumpulan E selepas tewas dalam aksi pertama Selasa lalu, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan itu terdesak untuk mendapatkan keputusan positif.

Harimau Malaya sangat memerlukan kemenangan ke atas Bahrain kerana bakal berdepan tugas lebih sukar apabila menentang pasukan pilihan, Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan, 25 Januari ini.

Selain itu, Shahrul atau lebih dikenali sebagai Badak mengakui pemain Harimau Malaya sudah mendapatkan gambaran mengenai beberapa pemain Bahrain yang harus diberikan tumpuan.

“Kami berada di sini hampir dua minggu, kami sudah tengok pemain pasukan lawan dalam kumpulan ini dan membuat penelitian. Ada beberapa pemain yang kami perlu betul-betul beri perhatian.

sumber:- HM

“Ramai pemain (Bahrain) yang kami perlu jaga terutama di bahagian tengah dan serangan. Namun, dalam beberapa hari ini saya mengharapkan kami dapat merancang strategi terbaik untuk menentang mereka,” katanya.