sukan

TMJ beri bayangan

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah memberi bayangan bahawa pasukannya bakal mengharungi era baharu walaupun melakukan penjimatan sehingga 40 peratus untuk musim 2024-2025.

Menerusi Instagram miliknya memaklumkan bahawa beliau akan melakukan sesuatu secara ‘silence’ selain turut memperbetulkan apa yang perlu.

Beliau berkata, walaupun JDT melakukan langkah penjimatan namun pasukan terbabit tetap tampil lebih kuat berbanding musim lalu sekali gus memberi bayangan bahawa kelab lain sukar untuk mencabar mahkota kejuaraan skuad Harimau Selatan itu.

“Inilah masanya untuk melakukan sesuatu dengan senyap dan perbetulkan segalanya. Dalam diam saya akan membina semula kekuatan dan kembali lebih kuat dari sebelum ini,” tulisnya menerusi hantaran di laman Instagram peribadinya.

Mengikut rekod, tahun ini sekali lagi menyaksikan JDT bakal bersaing dalam empat kejohanan iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elite.

Sebelum ini, juara ‘Double Quadruple’ itu mengumumkan langkah penjimatan dan melepaskan sejumlah pemain termasuk ayam tambatan, Fernando Forestieri.

Namun, pasukan terbabit memperkenalkan pemain baharu iaitu antara yang termahal dalam Liga Super membabitkan perancang dari Argentina, Jalil Elias dan pemain tengah dari Portugal, Francisco Geraldes.

Jelas sekali, kehadiran dua pemain terbabit yang dibawa masuk untuk menyertai skuad kendalian Hector Bidoglio yang dinyatakan TMJ sebagai era baharu Harimau Selatan.

Seramai 14 pemain JDT kini sedang berada di Qatar menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 dengan 12 pemain di pasukan Harimau Malaya manakala masing-masing satu mewakili Indonesia dan satu lagi mewakili Syria.

Harimau Selatan juga bakal mengadakan kempen pra musim di Portugal dan Sepanyol dalam rangka mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan menimba lebih banyak pengalaman untuk dibawa ke saingan Liga Juara-Juara AFC Elite.