sukan

Bukan nak balas dendam sebab di gantung FAM

Tiga bulan tidak bermain bola sepak dan hidup dalam serba kekurangan antara detik hitam dilalui tonggak pertahanan Jordan, Yazan Al-Arab selepas kontraknya ditamatkan Selangor FC pada Oktober tahun lalu.

Yazan sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara Red Giants dan Terengganu FC (TFC) apabila dia menyepak bahagian belakang pengadil perlawanan.

Susulan tindakan kurang bijaknya itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup dan kontraknya bersama Selangor FC turut dibatalkan atas persetujuan bersama.

Bagaimanapun, aksi ampuh Yazan pada perlawanan pertama Kumpulan E saingan Piala Asia menentang Malaysia di Stadium Al Janoub, awal pagi tadi, membolehkan Jordan meraih kemenangan besar 4-0.

Dia yang ditemui sejurus aksi itu mengakui melakukan kesilapan itu dan memohon maaf hingga menyebabkan dirinya digantung oleh FAM.

Malah, katanya, aksi berdepan skuad Harimau Malaya itu secara peribadi bukanlah pentas ‘membalas dendam’ di atas keputusan badan induk bola sepak Malaysia itu.

“Ia adalah saat sukar bagi saya dalam perlawanan menentang Terengganu. Apabila perkara itu berlaku, ia adalah saat yang sukar.

“Saya hidup selama tiga bulan dengan tidak bermain apa-apa perlawanan dengan mana-mana pasukan selepas insiden itu.

“Saya merindui peminat Malaysia terutama peminat Selangor kerana semua orang sentiasa menyokong kami dan sentiasa di belakang kami.

“Apapun saya ingin mengucapkan tahniah untuk Selangor yang pergi ke Liga Juara-Juara Asia 2. Semoga mereka dapat melakukan sesuatu,” katanya selepas aksi itu.

Dalam perkembangan lain, Yazan mahu rakan sepasukannya memberi fokus untuk baki dua aksi kumpulan menentang Korea Selatan dan Bahrain di Piala Asia, selepas ini.

“Kami menghormati Malaysia, kami cuba menekan pada separuh masa pertama dan berjaya menjaringkan tiga gol.

“Pada separuh masa kedua kami cuba bermain dalam tekanan dan berjaya menjaringkan gol lain serta mendapatkan tiga mata.

sumber:- HM

“Kami berada di puncak dan perlu fokus pada perlawanan seterusnya untuk mara ke pusingan 16 terbaik,” katanya.