sukan

“Tidak lama lagi” — Wan Kuzain

Selepas tertangguh beberapa kali, pemain Malaysia kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal bersedia menyarung jersi skuad Harimau Malaya, tidak lama lagi.

Ia susulan pendedahan tonggak tengah yang beraksi untuk St Louis City di saingan Liga AS itu di Instagram selepas sebuah portal pencari bakat, Frfuturetalents berkongsi statistik permainan Kuzain.

Dalam perkongsian statistik itu, Kuzain yang pernah menjalani latihan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia mengakui berminat menyertai skuad kendalian Kim Pan-gon yang sedang beraksi di Piala Asia 2023 di Qatar ketika ini.

“Tidak lama lagi,” tulisnya ringkas, sekali gus membayangkan betapa keinginan tinggi Kuzain untuk memperkuatkan pasukan negara.

Kehadiran Kuzain pastinya dapat menambah kekuatan pasukan khususnya di jentera tengah apabila pengalaman beraksi di AS dengan merekodkan 20 gol dalam kesemua kejohanan dilalui sejak beberapa musim lalu cukup meyakinkan.

Malah, dia dianggap antara bintang dalam Major League Soccer (MLS) bersama pemain ternama lain di AS.

Untuk rekod, Kuzain tidak mempunyai banyak masalah bermain untuk Malaysia kerana ibu dan bapanya adalah rakyat negara ini.

Begitupun masalah yang dihadapi lebih kepada isu dokumentasi babitkan Kuzain berikutan dia dilahirkan dan dibesarkan di AS.

Mungkin kehadiran Kuzain boleh membantu skuad Harimau Malaya untuk cuba mencuri salah satu daripada lapan tiket bagi benua Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang bakal dilangsungkan di Amerika Utara nanti.

Malaysia tidak pernah layak ke Piala Dunia sejak ia diperkenalkan pada 1930.

Begitupun, skuad negara sudah dua kali mara ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980 selain empat kali beraksi di Piala Asia.

sumber:- HM

Ketika ini, anak buah Pan-gon sedang mengharungi kempen Piala Asia di Qatar yang menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.