sukan

10 lagi pemain warisan boleh disambar Malaysia

Skuad Harimau Malaya tidak pernah ketandusan bakat tonggak warisan atau ‘heritage’ apabila merekodkan lebih 10 pemain berusia lingkungan 25 tahun ke bawah kini beraksi bersama kelab masing-masing di luar negara.

Berdasarkan kepada tinjauan Arena Metro mendapati rata-rata pemain warisan terbabit belum lagi dilamar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Kebanyakan pemain berdarah campuran Malaysia itu beraksi bersama kelab di Eropah dengan ada antara mereka menjadi tonggak utama kepada kelab masing-masing.

Jika FAM segera melakukan tindakan lanjut, pemain terbabit dilihat berpotensi menguatkan skuad Harimau Malaya sekali gus mampu memberi saingan sengit di pentas antarabangsa seperti Piala Asia.

Sumbangan pemain warisan ataupun tonggak kacukan dalam skuad Harimau Malaya sememangnya tidak boleh dinafikan di mana lebih separuh kekuatan pasukan negara ketika ini hadir menerusi kudrat pemain berdarah campuran itu.

Ketika ini, beberapa pemain warisan yang mewakili negara sudah mencapai usia lebih 30 tahun sekali gus mungkin tidak mampu lagi untuk menggalas cabaran untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Sekurang-kurangnya terdapat empat pemain kacukan yang sudah berusia antaranya Brendan Gan dan Natxo Insa dengan masing-masing berumur 35 dan 36 tahun serta empat tonggak lagi berusia 32 tahun iaitu Corbin Ong, Junior Eldstal, Daniel Ting serta Darren Lok.

Oleh itu, beberapa pemain kacukan muda yang berada di luar negara perlu direkrut segera untuk menggantikan pemain berdarah campuran terbabit.

Antara pemain berpotensi adalah Nishan Vellupilay yang memiliki darah campuran Australia-Malaysia dengan dia baru berusia 23 tahun dan beraksi di posisi penyerang di liga utama negara Kangaroo itu.

Negara juga mempunyai tonggak pertahanan tengah padu iaitu Dylan Van Wageningen yang berdarah Belanda-Malaysia dan beraksi untuk Sparta Rotterdam di Belanda, di mana umurnya baru mencecah 21 tahun.

Begitu juga Joshua Rawlins (kacukan Malaysia-Australia), Addis Goode (kacukan Malaysia-Australia), Sam Bone (kacukan Malaysia-England), Jez Bedford (kacukan Malaysia-England), Omar Bjorn Stefansson (kacukan Malaysia-Iceland) dan Kobe Jae Chong (kacukan Malaysia-Jamaica).

sumber:- HM

Jika FAM dapat menarik sekurang-kurangnya empat atau lima pemain daripada senarai itu, ia pastinya dapat memelihara transisi peralihan agar prestasi skuad Harimau Malaya tidak jatuh merudum ekoran ketiadaan tonggak senior itu nanti.