sukan

Jepun nyaris dikejutkan Vietnam

Pasukan pilihan kejohanan, Jepun, terpaksa bangkit dari ketinggalan sebelum mengatasi wakil Asia Tenggara, Vietnam dalam saingan peringkat kumpulan Piala Asia sebentar tadi.

Stadium Al-Thumama menjadi medan Jepun-Vietnam membuka saingan Kumpulan D, dengan Vietnam menurunkan rata-rata pemain muda ekoran sembilan pemain utama yang dibelenggu kecederaan.

Manakala Jepun pula tidak menurunkan pemain berstatus bintang seperti Ritsu Doan dan Takefusa Kubo malah sebaliknya meletakkan Takumi Minamino sebagai penyerang utama.

Samurai Biru membuka jaringan seawal minit ke-11 perlawanan menerusi Minamino susulan kegagalan Vietnam mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Vietnam, yang kini dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Jepun, Philippe Troussier, tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit mengikat jaringan, menerusi sepakan sudut yang diambil oleh Do Hung Dung berjaya disambar Nguyen Dinh Bac untuk menanduk masuk gol membuatkan penjaga gol, Zion Suzuki, terkelu.

Untuk rekod, ia merupakan jaringan daripada pemain termuda dalam skuad Vietnam yang berusia 19 tahun.
Corak permainan Vietnam semakin bertenaga, tidak gentar untuk menyamai corak permainan Jepun, dan mereka sekali lagi menemui jaring dengan gol yang disumbat oleh Pham Tuan Hai pada minit ke-33.

Selepas bergelut mencari ruang untuk menembusi benteng akhir Vietnam, Jepun berjaya mengikat jaringan sekali lagi menerusi Minamino, rembatan leret mudah untuk menewaskan Filip Nguyen sebelum Keito Nakamura melepaskan rembatan yang cukup menakjubkan untuk membenarkan pasukan mendahului 3-2 menuju ke bilik persalinan.

Kedua-dua pasukan mengekalkan corak permainan yang mantap dalam separuh masa kedua, sebelum kehadiran Doan dan Kubo yang dibawa masuk 15 minit sebelum tamat perlawanan sekaligus mengubah corak permainan.

sumber:-SA

Gerakan satu-dua daripada dua bintang tersebut berhasil bagi memastikan gol keempat Jepun yang disempurnakan oleh Ayase Ueda sebelum tamat perlawanan.