sukan

Terbuka Malaysia tanpa pemain Malaysia

Hasrat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik jadi wakil tunggal negara di peringkat separuh akhir Terbuka Malaysia 2024 tidak kesampaian.

Ini selepas pasangan negara terpaksa akur tumbang kepada juara dunia tahun lalu, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae dengan keputusan 21-16, 18-21 dan 13-21.

Turun bermotivasikan selaku pemain tuan rumah, juga dengan status bekas juara dunia 2022, Aaron-Wooi Yik bermula dengan langkah kanan untuk mengawal perlawanan mendahului tipis 11-9 pada interval set pertama.

Biarpun melakukan beberapa kesilapan sepanjang set pertama, namun itu tidak dapat menyekat pasangan negara untuk merangkul set pembukaan dengan kemenangan 21-16 sekaligus membuatkan suasana gegak gempita di Arena Axiata.

Masuk di set kedua, pasangan negara seolah-olah hilang arah tuju seketika apabila ketinggalan 0-4, namun mereka berjaya bangkit sehingga kedudukan terikat 4-4.

Tapi rentak itu gagal diteruskan Aaron-Wooi Yik, dibelakang dengan mata 8-11 pada interval kedua.
Aksi memberangsangkan dipamerkan Min Hyuk-Seung Jae untuk mendahului dengan jurang lima mata pada kedudukan 15-10, dan kemudian memastikan perlawanan ini ke set penentuan dengan kemenangan 21-18.

Perlawanan lebih seimbang di set ketiga, dengan mata terikat lima sama, enam sama, tujuh sama, dan lapan sama sebelum kesilapan oleh pasangan negara berikan mata ke-11 untuk beregu Korea Selatan berkelebihan tipis satu mata.

Kesilapan demi kesilapan membawa padah buat Aaron-Wooi Yik, dengan rentetan lapan mata oleh Min Hyuk-Seung Jae memastikan mereka jauh meninggalkan Aaron-Wooi Yik pada kedudukan 16-10.

Dan juara dunia ini jelas sukar digugat, Min Hyuk-Seung Jae akhirnya menutup perlawanan dengan kemenangan set penentuan 21-13.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Goh V Shem dan Lim Khim Wah pada tahun 2014.

sumber:- SA

Saingan separuh akhir Terbuka Malaysia 2024 boleh disaksikan secara langsung pada esok, bermula jam 11.30 pagi di Astro Arena saluran 801HD bersama Shahrazad Sani, Azlan Mubin, Roslin Hashim dan Koo Kien Keat.