sukan

Skuad Negara kena ratah pada aksi pertama

Skuad hoki wanita negara terpaksa akur apabila dibelasah 0-7 oleh Sepanyol pada aksi pertama Kumpulan B pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Valencia, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Estadio Betero itu, gawang Malaysia mula bocor pada minit ke-30 menerusi jaringan padang Patricia Alvarez sebelum Belen Iglesias meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Sepanyol yang dibimbing Carlos Garcia terus garang apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Maria Lopez yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-41 sebelum menambah gol kedua peribadi Belen hasil jaringan padang minit ke-52.

Tuan rumah terus berpesta gol dengan dua jaringan padang Patricia untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-56 dan 57, sebelum Beatriz Perez melengkapkan permulaan gemilang dengan gol ketujuh di minit terakhir perlawanan.

“Untuk perlawanan hari ini kita sudah jangkakan akan berdepan kesukaran kerana Sepanyol adalah tuan rumah dan berada dalam lapan terbaik dunia.

“Kebanyakan pemain pasukan kita adalah pemain muda biarpun mereka pernah beraksi di Sukan Asia tetapi ini adalah kali pertama bertemu pasukan Eropah yang berada dalam 10 terbaik dunia.

“Saya berterima kasih kepada pemain yang memberikan persembahan terbaik di suku pertama dengan tidak membenarkan Sepanyol menjaringkan gol. Namun, memasuki separuh kedua, mereka mula tidak berdisiplin dan melakukan kesilapan-kesilapan kecil dalam kawasan D sehingga menyebabkan pasukan lawan menjaringkan gol,” kata jurulatih negara, Nasihin Nubli Ibrahim.

Kekalahan meletakkan anak buah Nasihin Nubli dalam situasi sukar bagi memburu dua tempat teratas kumpulan dalam usaha layak ke separuh akhir.

Terdahulu, Great Britain berjaya menewaskan Kanada 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B menerusi jaringan Tessa Howard pada minit ke-18 dan Anna Frances Toman di minit ke-36.

Malaysia dijadual berdepan Kanada pada aksi kedua kumpulan, esok.

sumber:- BH

“Untuk bertemu Kanada, banyak perkara yang kita perlu perbaiki dan kita akan cuba curi mata kerana ini adalah peluang kita bertemu pasukan yang mempunyai ranking lebih kurang sama,” kata Nasihin.