sukan

Syafiq Ahmad hampir pasti sertai pasukan

Walaupun kesahihan hala tuju pemain sayap negara Syafiq Ahmad masih belum dapat dipastikan, namun Kedah Darul Aman dilihat ‘destinasi’ yang semakin hampir disertainya pada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2024.

Menerusi spekulasi yang sedang hangat dibincangkan dikalangan penyokong sebelum ini, selain Kedah, Syafiq juga menjadi rebutan Penang FC selain turut dikaitkan dengan kelab Pantai Timur, Terengganu FC sebaik berita dia bakal dipinjamkan oleh kelab Johor Darul Ta’zim tersebar sejak hujung Disember lalu.

Menurut sumber, perpindahan Syafiq ke Kedah kali ini dikhabarkan semakin hampir, dan ia sekali gus membuktikan KDA FC begitu fokus untuk membawa bekas bakat muda skuad Hijau Kuning itu kembali sekali lagi ke bumi Kedah untuk mengharungi musim baharu.

“Kita sudah menjangkakan spekulasi perpindahan Syafiq ini akan hangat dibincangkan oleh pemerhati sukan dan juga penyokong setiap kali melibatkan pasukan baharu yang bakal disertainya kerana dia pernah dipinjamkan ke Kedah pada 2022 lalu.

“Namun pada musim baharu ini, Syafiq adalah pemain yang dilihat begitu berpotensi untuk menyertai skuad Sang Kenari yang mana dia sendiri pernah wakili pada dua musim yang lalu.

“Boleh kita katakan Syafiq kini sudah semakin hampir ke Kedah dan sekiranya ini menjadi kenyataan, ia adalah satu kejayaan buat Sang Kenari dalam melakukan perancangan terbaik bagi persiapan musim baharu nanti,” katanya.

Bintang JDT berusia 28 tahun ini turut dilaporkan tiada dalam radar pasukan Terengganu FC (TFC) bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024.

Perkembangan ini menguatkan lagi harapan serta semangat penyokong Sang Kenari yang mahu Syafiq kembali beraksi di Kedah pada musim baharu yang akan bermula pada Mei depan.

sumber:- HM

Syafiq Ahmad adalah salah seorang daripada pemain JDT yang dilaporkan akan dipinjamkan keluar selain Oscar Arribas, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan penjaga gol Haziq Nadzli untuk musim baharu 2024.