sukan

Malaysia pembunuh Gergasi

Pasukan Harimau Malaya dilihat mampu menjadi pembunuh skuad gergasi yang berada di ranking bawah 100 dunia berdasarkan kepada kekuatan ‘misteri’ di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Walaupun, pada peringkat awal skuad Harimau Malaya yang berada di ranking 130 dunia dianggap sebagai pasukan pelengkap jadual Piala Asia namun beberapa siri latihan dan keputusan seri 2-2 menentang Syria baru-baru ini membuka mata lawan lain bahawa mereka perlu lebih berwaspada kelak.

Menurut pemerhati bola sepak tanah air Datuk Richard Scully, nama Malaysia sudah mula menjadi sebutan di kalangan pasukan lain di Piala Asia termasuklah Korea Selatan yang melabel skuad Harimau Malaya sebagai ‘pengacau’ dalam aksi kumpulan E.

Beliau berkata, Malaysia dilihat antara pasukan yang akan menampilkan kejutan pada kejohanan terbabit dengan menjangkakan ada pesaing yang bakal menjadi mangsa baham Harimau Malaya.

Katanya, walaupun Malaysia berada di ranking 130 dunia namun rata-rata beranggapan itu hanyalah nombor semata-mata seterusnya tampil berbeza dalam usaha meraih keputusan positif di pentas Piala Asia.

“Malaysia ketika ini berada pada ‘mood’ atau landasan yang betul dan tepat. Atas kertas memang kita sukar untuk meraih kemenangan namun saya optimis skuad Harimau Malaya mampu melakukan kejutan.

“Kita mempunyai pakej lengkap dengan dibarisi pemain naturalisasi, kacukan dan tonggak tempatan terbaik. Pasukan yang berada di ranking bawah 100 sudah mula gerun.

“Perkara penting adalah skuad Harimau Malaya perlu bersederhana ketika ini. Buktikan kemampuan pada hari perlawanan kelak,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan pada kejohanan di Doha, Qatar itu.

Sementara itu, Richard berkata, taktikal yang diterapkan Pan-gon boleh dikatakan misteri sekali gus menambah keresahan pasukan seperti Jordan dan Bahrain apabila berdepan Malaysia dalam saingan kumpulan E.

sumber:- HM

“Saya fikir jika segalanya berjalan lancar mungkin kita tidak berhadapan masalah untuk menempah tiket 16 pasukan terbaik Piala Asia,” katanya.