sukan

Malaysia dilabel ‘menggerunkan’

Di sebalik benteng pertahanan yang sering ‘bocor’, prestasi di bahagian depan skuad Harimau Malaya boleh dianggap ‘menggerunkan’ dengan kemampuan mereka merobek gawang pasukan lawan.

Mengharungi 14 perlawanan bermula 2023 termasuk satu perlawanan pada tahun ini, skuad kebangsaan berjaya menghasilkan 34 gol dengan hanya dua perlawanan mereka buntu jaringan iaitu ketika berdepan Thailand (Piala AFF) dan Tajikistan (final Pestabola Merdeka).

Lebih memberangsangkan, barisan serangan negara sememangnya berbisa apabila bukan setakat ‘membuli’ pasukan di ranking lebih rendah malah turut membuatkan pasukan di ranking lebih tinggi ‘goyang’ dengan persembahan mereka.

Kualiti ini dibuktikan apabila mereka menjaringkan empat gol menentang Syria dalam dua pertemuan, berjaya mengikat China 1-1, menewaskan India 4-2 pada Pestabola Merdeka serta bangkit membenam Kyrgyzstan 4-3 pada Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Justeru, bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir menegaskan kualiti serangan negara tidak menjadi satu masalah untuk mengharungi Piala Asia 2023 malah prestasi itu mungkin dapat membuatkan pasukan lain lebih berhati-hati.

“Kita tengok daripada segi serangan, kita ada rangkaian yang baik dengan kehadiran Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Darren Lok dan Romel Morales. Ini juga dibantu dengan kekuatan daripada bahagian tengah.

“Pemain kita juga ada kemahiran individu dan kebijaksanaan, jadi kita tidak perlu risau dengan bahagian serangan. Sebaliknya, pasukan lain yang perlu bimbang dengan negara kita.

Mungkin sebab ini jugalah Arab Saudi menarik diri daripada bertemu kita sebelum ini,” kata Hasnizam.

Malah, Hasnizam turut melihat Malaysia konsisten merobek gawang lawan susulan pendekatan taktikal Kim Pan Gon yang menerapkan strategi menyerang dan secara tidak langsung mendedahkan bahagian pertahanan dengan risiko dibolosi.

“Percaturan Pan Gon lebih kepada ofensif dan semua bahagian digunakan untuk membantu serangan, termasuklah bek sisi dengan Matt Davies, Corbin Ong yang diberikan tanggungjawap untuk naik atas membantu serangan.

sumber:- BH

“Ini adalah kekuatan kita tetapi dalam bola sepak moden, pasukan dengan mentaliti menyerang sudah tentu akan dibolosi. Jadi ia perlu seimbang dan saya yakin Pan Gon ada percaturan tersendiri untuk menghadapi Piala Asia 2023 nanti,” katanya.