sukan

Degupan jantung pemain Malaysia kencang gara-gara Kim Pan-gon

Degupan jantung 26 pemain skuad Harimau Malaya pastinya berdegup kencang menjelang aksi pertama Kumpulan E kempen Piala Asia menentang Jordan pada awal pagi Selasa depan yang dijadual berlangsung di Stadium Al Janoub, di Doha, Qatar.

Debaran itu disebabkan kesemua pemain dilihat berpeluang mengisi senarai kesebelasan utama pasukan selepas pengendali, Kim Pan-gon akui berpuas hati dengan prestasi anak buahnya, sekaligus sukar untuknya membuat pemilihan.

Lantas bagi memastikan 11 pemain yang dipilih itu adalah benar-benar tepat, Pan-gon akan menganalisis prestasi setiap pemain dengan sebaiknya termasuk ketika aksi persahabatan tertutup berdepan Syria kelmarin yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

“Kita akan menilai dan menganalisis perlawanan ini sebelum barisan kejurulatihan memutuskan senarai kesebelasan utama bagi perlawanan pertama nanti.

“Jadi sesiapa sahaja boleh membarisi kesebelasan utama,” katanya yang berasal dari Korea Selatan yang dilantik pada Mac 2022 lalu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

Pada pusingan Kelayakan Piala Asia Jun 2022 lalu, skuad kendalian Pan-gon mencipta sensasi apabila menamatkan badi 43 tahun untuk layak secara merit beraksi di Piala Asia selepas kali terakhir melakukannya pada 1980 di Kuwait.

Biarpun pernah berentap di pentas sama pada 2007 lalu, namun ketika itu Malaysia beraksi atas tiket selaku tuan rumah bersama tiga lagi buah negara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Di Qatar nanti, anak buah Pan-gon diletakkan dalam E dan akan membuka tirai berdepan Jordan sebelum bertemu Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad.

sumber:- HM

Aksi terakhir peringkat kumpulan adalah menentang juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan (25 Januari) di Stadium Al Janoub.