sukan

Komen Kim Pan Gon menentang negara kelahirannya

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon enggan terlalu memikirkan sentimen kenegaraan apabila bakal membawa skuad Harimau Malaya menentang tanah airnya, Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E, 25 Januari ini.

Pasukan nombor tiga Asia itu bakal menanti skuad kebangsaan di Stadium Al Janoub selepas Malaysia terlebih dahulu membuka kempen Piala Asia 2023 berdepan Jordan (16 Januari) dan Bahrain (20 Januari).

“Ia bukan mengenai menewaskan Korea Selatan di Piala Asia tetapi ia adalah mengenai kemampuan Malaysia untuk bersaing dengan kelompok pasukan terbaik di benua ini.

“Apabila kami berpeluang untuk berentap dengan beberapa pemain terbaik dunia, ini satu perkembangan yang sangat baik untuk kami. Sudah tentu sukar untuk kami menewaskan pasukan pilihan tetapi menentang mereka adalah satu motivasi terbaik.

“Bukan hanya Korea Selatan tetapi Jordan dan Bahrain juga yang jelas lebih kuat berbanding kami,” katanya seperti dipetik menerusi laman rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Di sebalik cabaran sukar itu, Pan Gon tetap memburu sekurang-kurangnya satu kemenangan yang pasti dapat membantu skuad negara meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.

“Kami mensasarkan untuk menang sekurang-kurangnya satu kemenangan bagi menggembirakan penyokong Malaysia. Sasaran kita adalah untuk mara ke peringkat 16 terbaik Piala Asia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas pengendali Hong Kong itu turut menuntut anak buahnya meneruskan momentum pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan mereka kini mengungguli Kumpulan D dengan dua kemenangan.

“Lagi bagus jika kami menang dua daripada empat baki perlawanan kelayakan. Jika kami layak ke pusingan ketiga, ini pasti menjadi berita gembira buat penyokong Malaysia.

sumber:- BH

“Saya mahu mengorak langkah yang lebih jauh dalam memajukan lagi bola sepak di Malaysia. Saya mahu melihat Malaysia berada dalam kelompok 100 terbaik dunia,” kata Pan Gon.