sukan

Jangan perlekeh skuad Pan Gon

Pasukan lawan yang jelas berada pada kedudukan ranking lebih baik tidak seharusnya memandang rendah cabaran Malaysia yang turun sebagai pasukan bukan pilihan pada Piala Asia 2023 ini.

Tonggak tengah skuad Harimau Malaya, Paulo Josue melontarkan keyakinan rakan sepasukannya mampu mencipta kejutan apatah lagi mereka sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk ‘berperang’ pada aksi di Qatar, minggu depan.

“Persiapan berjalan lancar dan kami menyesuaikan diri dengan cuaca serta permukaan padang yang berbeza. Sebab itulah kita tiba awal di sini (Doha) dan semuanya nampak berada dalam keadaan baik.

“Ini akan menjadi aksi yang sukar dan kita perlu bersedia sepenuhnya. Kita pasukan bukan pilihan tetapi jika lawan tidak memberikan aksi yang terbaik, saya rasa kita boleh kejutkan mereka nanti.

“Mereka tidak boleh terlalu yakin walaupun kita adalah pasukan di ranking paling rendah (Kumpulan E), kita fokus dengan kerja kita dan kita akan cuba untuk menang ke atas pasukan di ranking lebih tinggi daripada kita,” kata pemain naturalisasi itu.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Kim Pan Gon akan membuka kempen menentang pasukan di ranking ke-87, Jordan pada 16 Januari sebelum berdepan satu lagi pasukan Asia Barat, Bahrain yang menghuni kedudukan ke-86 dunia pada 20 Januari.

Mereka akan menutup kempen peringkat kumpulan menentang pasukan nombor tiga Asia yang juga juara dua kali, Korea Selatan pada 25 Januari.

Dalam perkembangan sama, pemain tengah KL City FC itu turut mengakui fokus perlu diletakkan untuk aksi pertama berdepan Jordan terlebih dahulu dan mengambil satu perlawanan ke perlawanan.

“Kita perlu fikir aksi menentang Jordan dahulu dan kalau kita berjaya mengutip mata, kita ada peluang yang lebih baik untuk layak kerana empat pasukan ketiga terbaik pun boleh layak (ke pusingan seterusnya).

sumber:- BH

“Kita perlu fikir untuk mengutip tiga ataupun empat mata, jumlah mata yang perlu kita dapatkan untuk meneruskan perjuangan,” katanya.