sukan

Bukan hanya Empat mata Malaysia mampu dapatkan

Bukan setakat empat mata namun tidak mustahil untuk skuad Harimau Malaya mencipta kejutan dengan memungut lima mata daripada tiga aksi peringkat Kumpulan E di Piala Asia 2023 nanti.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus berkata peluang itu ada berdasarkan persiapan yang dilakukan selain kebangkitan positif ditunjukkan pemain skuad kebangsaan berdasarkan keputusan memberangsangkan diraih sebelum ini.

Namun bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu tetap berpandangan Malaysia perlu fokus untuk mendapatkan sekurang-kurangnya empat mata ‘minimum’ daripada aksi berdepan Jordan dan Bahrain terlebih dahulu.

“Saya optimis kita dapat mengutip mata daripada Jordan dan Bahrain jika kena dengan strategi dan taktikal serta bermain dengan positif secara satu pasukan.

“Dua pasukan Arab itu tidak berada dalam kondisi terbaik kebelakangan ini dan ini memberi kita peluang terbaik untuk mendapatkan mata. Mental pemain kena lebih kuat kerana jangkaan tinggi diletakkan kepada mereka.

“Apapun, fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan bermula dengan Jordan dahulu,” kata Fauzi.

Dalam masa sama, aksi berdepan Korea Selatan sudah tentu menjadi perlawanan yang sukar tetapi pemain negara tidak seharusnya merendah diri apabila berdepan pasukan nombor tiga Asia itu.

“Saya lebih berat kepada Jordan dan Bahrain (dapatkan mata) kerana Korea Selatan ini sudah berada pada tahap berbeza. Tetapi tidak mustahil jika pemain dapat menyesuaikan diri dengan tekanan lawan.

“Pasukan kita pun sedang diperhatikan jadi lawan tidak mahu terkena renjatan. Lawan juga pasti berhati-hati dengan prestasi skuad kebangsaan ketika ini,” katanya.

Terdahulu, semakan menerusi edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapati empat mata dilihat menjadi ‘mata minimum’ yang perlu dimenangi anak buah Pan Gon untuk layak dengan selesa sekiranya gagal menamatkan saingan selaku juara mahupun naib juara kumpulan.

Pada edisi 2019, Bahrain menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga apabila diketepikan Thailand menerusi rekod pertemuan meskipun terikat empat mata namun mereka menjadi pasukan ketiga terbaik dengan empat mata terbabit.

sumber:- BH

Bagaimanapun, tiga mata hasil satu kemenangan ataupun tiga keputusan seri sudah memadai untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik namun ada beberapa faktor lain menjadi penentu seperti perbezaan jaringan, gol, rekod disiplin dan undian.