sukan

‘angka keramat’ untuk Malaysia mara

Berapa ‘angka keramat’ yang perlu diraih skuad Harimau Malaya untuk melepasi peringkat kumpulan sekali gus mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik?

Selepas format Piala Asia dikembangkan kepada 24 pasukan bermula edisi 2019, empat pasukan ketiga terbaik berpeluang mengiringi enam juara dan enam naib juara untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Sifir mudahnya, skuad Harimau Malaya akan mara secara automatik jika berjaya menjadi juara ataupun naib juara Kumpulan E namun apa akan terjadi jika skuad negara gagal melakukan sedemikian?

Berdasarkan semakan menerusi edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat mata dilihat menjadi ‘mata minimum’ yang perlu dimenangi anak buah Kim Pan Gon untuk layak dengan selesa sekiranya gagal menamatkan saingan selaku juara mahupun naib juara kumpulan.

Pada edisi 2019, Bahrain menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga apabila diketepikan Thailand menerusi rekod pertemuan meskipun terikat empat mata namun mereka menjadi pasukan ketiga terbaik dengan empat mata terbabit.

Justeru, empat mata sekali lagi mungkin dapat membantu mana-mana pasukan meneruskan perjuangan di Qatar sama seperti sudah dilakukan oleh Bahrain pada edisi lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tiga mata hasil satu kemenangan ataupun tiga keputusan seri sudah memadai untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik namun ada beberapa faktor lain menjadi penentu seperti perbezaan jaringan, gol, rekod disiplin dan undian.

Pada edisi sebelum ini, empat pasukan berkongsi tiga mata iaitu Kyrgyzstan, Oman, Vietnam dan Lubnan namun Lubnan ‘sangkut’ meskipun memiliki jumlah mata yang sama.

Kyrgyzstan dan Oman memiliki perbezaan jaringan lebih baik (0) berbanding Vietnam dan Lubnan yang memiliki perbezaan jaringan (-1) namun mengapa Vietnam ‘lolos’ sebaliknya Lubnan tidak?

Ini kerana Vietnam lebih ‘baik’ berbanding Lubnan apabila mereka melakar -5 untuk rekod disiplin manakala Lubnan pula -7 sekali gus menyaksikan rekod disiplin turut menjadi ‘kingmaker’ dalam penentuan pasukan ketiga terbaik.

Justeru, skuad kebangsaan bukan sahaja perlu mencari mata, mendapatkan gol dan mengurangkan bolos namun perlu berhati-hati untuk mengelak layangan kad yang tidak perlu pada tiga aksi peringkat kumpulan itu nanti.

sumber:- BH

Sudah tentu satu kerugian yang besar sekiranya peluang Malaysia ke pusingan seterusnya ‘lebur’ dek kerana rekod disiplin yang kurang baik berbanding pencabar lain.