sukan

Skuad Malaysia mula selesa di Qatar

Skuad Harimau Malaya yang telah menjalani sesi latihan memasuki hari kelima di Doha, Qatar sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di negara berkenaan.

Persediaan bagi menghadapi aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 itu berjalan lancar dan pertahanan negara, Junior Eldstal mengakui pemain-pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang mencecah 22 darjah Celsius.

Jelasnya, fasiliti di Doha adalah sangat baik terutama padang dan stadium bertaraf dunia sekali gus tidak boleh dijadikan alasan untuk dia dan rakan sepasukannya tidak memberi aksi terbaik.

“Sudah tentu keadaan cuaca di sini dan Malaysia sedikit berbeza. Di sini sedikit sejuk dan kami kena biasa.

“Angin di sini segar dan bagus, keadaan padang, stadium semua cantik. Jadi tiada alasan yang banyak untuk kami tidak beraksi dengan baik,” katanya selepas menjalani sesi latihan kelima di Doha, semalam.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Dalam pada itu, ganjaran hampir RM1 juta bakal diraih skuad bola sepak kebangsaan susulan penyertaan Harimau Malaya dalam pusingan akhir Piala Asia 2023.

Ia kerana semua 24 pasukan yang bersaing pada kejohanan di Qatar bermula 12 Januari ini akan menerima AS$200,000 atau kira-kira RM929,100.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang mara ke pusingan akhir secara merit selepas 43 tahun boleh meraih ganjaran lebih tinggi sekiranya berjaya melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu.

Pasukan yang menjuarai Piala Asia 2023 akan menerima RM23 juta manakala naib juara pula bakal meraih hampir RM14 juta.