sukan

Satu kelebihan buat skuad Kim Pan Gon

Tampil sebagai pasukan ‘kerdil’ di Piala Asia 2023 berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia jelas menjadi antara salah satu pasukan bukan pilihan pada saingan di Qatar nanti.

Skuad bimbingan Pan Gon berada di tangga ke-130 dunia berbanding tiga lagi pencabar mereka dalam Kumpulan E yang berada dalam kelompok 90 terbaik dunia iaitu Korea Selatan (23), Bahrain (86) serta Jordan (87).

Namun bagi Pan Gon, situasi itu seharusnya memberi lebih tekanan buat pasukan lawan Malaysia memandangkan mereka diletakkan sebagai pilihan untuk mengutip tiga mata pada saingan peringkat kumpulan yang akan membuka tirainya, 15 Januari ini.

“Malaysia tiada tekanan kerana lawan Malaysia akan lebih merasainya memandangkan mereka jangkakan boleh menewaskan Malaysia sementara seri sudah cukup baik untuk Malaysia.

“Jika Malaysia dapat memberi saingan yang sengit, tekanan akan lebih tinggi buat pasukan yang berfikir mereka perlu menewaskan kita sekali gus memberi kesempatan buat Malaysia untuk mendapatkan jaringan.

“Justeru, fokus pada kem latihan untuk persiapan kali ini adalah untuk memantapkan pertahanan dan juga situasi bola mati,” kata Pan Gon seperti dipetik menerusi temubual bersama Forbes, baru-baru ini.

Dalam temubual sama, pengendali dari Korea Selatan itu turut berkongsi cabaran yang perlu dikendalikan sebaiknya khususnya dari aspek mentaliti pemain yang dipanggil untuk menggalas cabaran negara di Qatar.

“Kita perlu mengekalkan mentaliti pemain di tahap terbaik kerana saingan Piala Asia 2023 berlangsung selepas saingan domestik berakhir. Mental pemain akan penat selepas mengharungi semusim liga yang panjang.

“Kem latihan juga berlangsung dalam tempoh jangka masa yang panjang jadi kita membuat perancangan untuk mengadakan beberapa aktiviti di luar padang.

sumber:- BH

“Mereka tidak perlukan motivasi untuk bersaing di pentas tertinggi seperti ini, jadi kami pastikan mereka terus berkeyakinan supaya mereka percaya mampu memberi cabaran kepada pasukan lawan,” katanya.