sukan

Lima pemain bola sepak ditahan polis

Lima lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit pergaduhan semasa perlawanan bola sepak antara dua pasukan di padang di Bandar Gamuda, Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira 8 malam membabitkan pasukan Sungai Buaya FC dan Garage FC.

“Berdasarkan laporan, pengadu iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun bersama rakan dari pasukan Sungai Buaya FC bermain bola sepak menentang pasukan lawan.

“Semasa perlawanan, berlaku perselisihan faham antara rakan pengadu dengan pemain lawan. Pengadu cuba meleraikan pergaduhan itu namun diserang oleh beberapa pemain lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, pengadu mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan serta muka.

Menurut Shafa’aton, polis menahan lima lelaki berusia antara 14 hingga 39 tahun.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai memberikan keterangan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

sumber:- HM

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 30 saat yang menunjukkan berlaku kekecohan apabila sekumpulan pemain bergaduh dengan menggunakan topi keledar dan kerusi.