sukan

Habib Haroon lebih berhati-hati

Selepas diketepikan Terengganu FC (TFC), bekas kapten skuad itu, Habib Haroon belum memutuskan lagi destinasinya pada musim ini.

Jelas pemain kelahiran Bahrain itu, dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dalam menentukan hala tujunya selepas ini bagi memastikan pasukan yang bakal diwakilinya nanti tidak berdepan sebarang masalah.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun yang hampir tiga musim menyarung jersi skuad Penyu sejak pertengahan musim 2021 menaruh keyakinan tinggi untuk terus beraksi dalam kancah Liga M berbanding kelab luar negara kerana sudah tertarik untuk tinggal di bumi Malaysia.

“Setakat ini saya belum membuat keputusan dengan memilih mana-mana pasukan lagi walaupun sudah ada pasukan yang menyatakan minat untuk melamar.

“Insya-Allah saya akan buat keputusan selepas ini, ejen saya akan uruskan nanti. Tapi sejujurnya saya sudah jatuh hati untuk terus beraksi dalam saingan Liga M, saya harap kekal di sini, (Malaysia) terutama selepas hampir tiga tahun beraksi bersama TFC.

“Buat masa sekarang saya mahu berehat bersama keluarga terlebih dahulu, lagipun Liga M masih lagi panjang berbanding tahun sebelum ini,” ujar Habib ketika dihubungi.

sumber:- HM

Terdahulu ‘arkitek’ kesayangan peminat setia TFC itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada penyokongnya selepas kontraknya bersama 11 lagi pemain termasuk lima bintang import tidak disambung pihak pengurusan TFC pada musim ini.