sukan

Skuad Malaysia raih ganjaran lumayan susulan penyertaan Piala Asia

Ganjaran hampir RM1 juta bakal diraih skuad bola sepak kebangsaan susulan penyertaan Harimau Malaya dalam pusingan akhir Piala Asia 2023.

Ia kerana semua 24 pasukan yang bersaing pada kejohanan di Qatar bermula 12 Januari ini akan menerima AS$200,000 atau kira-kira RM929,100.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang mara ke pusingan akhir secara merit selepas 43 tahun boleh meraih ganjaran lebih tinggi sekiranya berjaya melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu.

Pasukan yang menjuarai Piala Asia 2023 akan menerima RM23 juta manakala naib juara pula bakal meraih hampir RM14 juta.

Bagi pasukan yang tewas di separuh akhir pula, mereka akan menerima RM4.6 juta dengan hadiah keseluruhan bagi kejohanan itu RM68.7 juta.

Harimau Malaya yang kali terakhir layak secara merit pada 1980 diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali, Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

sumber:- BH

Menerusi laporan BH Sukan, semalam, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang berada dalam skuad 1980 menyifatkan tidak mustahil Harimau Malaya mampu melepasi peringkat kumpulan.