Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki wakil pemain terbesar yang akan berentap di pentas Piala Asia 2023 bermula 12 Januari ini.
Perkara itu disahkan badan penganjur Piala Asia, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi satu artikel di laman rasmi badan induk itu.
Kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu memiliki 15 pemain yang akan bersaing di Qatar dengan 13 daripadanya mewakili skuad Harimau Malaya.
Jumlah itu menyaksikan pemain JDT berada di semua posisi dalam skuad Harimau Malaya termasuk seorang penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan empat pertahanan, Matthew Davies, Shahrul Saad, Syahmi Safari dan La’vere Corbin Ong.
Empat pemain mengisi bahagian tengah iaitu Endrick Dos Santos, Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail dan Natxo Insa manakala empat lagi beraksi di posisi serangan termasuk Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid.
Dua lagi pemain Harimau Selatan termasuk bintang import baharu mereka, Jalil Elias dan Jordi Amat akan beraksi bersama skuad kebangsaan Syria dan Indonesia.
Tiga lagi kelab termasuk Al Ahed FC (Lubnan), Al Sadd SC (Qatar) dan FC Istiklol (Tajikistan) pula masing-masing memiliki 10 wakil pemain mereka yang akan beraksi di Piala Asia 2023.
sumber:- BH
Al Ahed FC mempunyai pemain dalam pasukan Lubnan, Jordan dan Syria manakala pemain Al Sadd SC dan FC Istiklol masing-masing menjadi tonggak kepada skuad Qatar dan Tajikistan.