sukan

Kehilangan dua pemain jadi ‘misteri’

Juara berganda musim lalu Pahang Rangers FC hampir pasti melupakan khidmat dua pemain pemain kebangsaan pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) musim ini selepas mereka menghilangkan diri dari radar skuad Tok Gajah.

Dua pemain berkenaan, Muhamad Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap Khairuddin dikatakan tidak muncul sejak kem pasukan bimbingan jurulatih, Gerard Casas memulakan latihan bulan lalu.

Difahamkan usaha menghubungi dua pemain itu bagi mendapatkan kedudukan sebenar mereka telah dilakukan sebelum ini, namun panggilan dan kiriman WhatsApp tidak dijawab.

Desas desus mengaitkan dua pemain berkenaan bakal beraksi dengan pasukan baharu musim ini begitu kuat berlegar hingga sanggup bertindak menyepi diri walaupun masing-masing masih ada kontrak dengan Pahang Rangers FC.

Muhamad Ridzwan yang mempunyai kontrak setahun berpengalaman lebih 10 tahun dalam kancah futsal tempatan merupakan penjaring terbanyak Pahang Rangers FC musim 2022 dengan 19 gol, manakala musim lalu mengumpul sebanyak 8 gol dan beberapa kali menerima Anugerah Kasut Emas Liga Futsal.

Pemain muda, Mahadir Harahap yang kali pertama beraksi dengan skuad kebangsaan tahun lalu pada saingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan, Oktober tahun lalu mempunyai kontrak tiga tahun.

Pahang Rangers FC pastinya terasa kehilangan dua pemain berkenaan yang menjadi antara tulang belakang kejayaan berganda skuad Tok Gajah musim lalu apabila muncul juara MPFL dan Piala Futsal Malaysia.

Skuad Tok Gajah kini dalam persiapan menghadapi saingan musim ini dalam keadaan sedikit pincang tanpa ayam tambatan mereka musim lalu, walaupun dengan kehadiran enam muka baharu membabitkan empat pemain tempatan dan dua import.

sumber:- HM

Rata-rata peminat Pahang Rangers FC turut kecewa dengan keputusan dua pemain terbabit yang seolah lupa daratan dan tidak menghargai bantuan yang disediakan Pahang Rangers FC sebelum ini.