sukan

Dion Cools nampak ‘kerdil’ di Qatar

Barisan bintang pasukan gergasi Asia, Jepun dan Korea Selatan menguasai kelompok teratas senarai ‘tanda harga’ pemain yang akan beraksi dalam Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari ini.

Berdasarkan nilai pasaran pemain di laman antarabangsa, transfermarkt.com, pertahanan Korea Selatan, Kim Min Jae dan pemain sayap Jepun, Takefusa Kubo berkongsi status tonggak paling mahal dalam Piala Asia kali ini dengan nilai pasaran €60 juta (RM305 juta).

Kapten Korea Selatan yang juga bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min pula berkongsi kedudukan kedua pemain paling bernilai tinggi bersama tonggak Brighton, Kaoru Mitoma selepas memiliki nilai pasaran RM254 juta.

Pemain pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu berada di kedudukan ketiga dengan nilai pasaran RM152 juta manakala pemain tengah Paris Saint-Germain, Lee Kang In berkongsi tanda harga RM112 juta bersama Hwang Hee Chan dan Hiroki Ito di tangga keempat.

Pemain termahal dalam skuad Harimau Malaya, Dion Cools menghuni kedudukan ke-38 dalam senarai nilai pasaran pemain di Piala Asia kali ini dengan tanda harga RM3.8 juta.

Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2021 dan 2022, Arif Aiman Hanapi di kedudukan 42 dengan nilai pasaran RM2.8 juta manakala Faisal Halim dan Matthew Davies yang memegang tanda harga RM2 juta di tangga 45.

Rekrut terbaharu Harimau Selatan, Jalil Elias yang akan membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan Syria di Qatar pula berada di tangga ke-21, berkongsi nilai pasaran RM15 juta bersama pemain tengah Korea Selatan, Lee Jae Sung.

Nilai pasaran tinggi dimiliki barisan pemain Jepun meletakkan pasukan nombor satu Asia dan 17 dunia itu sebagai skuad paling bernilai di Piala AFC 2023 dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion.

Korea Selatan yang menduduki ranking ketiga Asia muncul pasukan kedua paling bernilai dengan RM981 juta manakala Iran di tangga ketiga dengan nilai pasaran keseluruhan pemainnya RM262 juta.

Sementara itu, Harimau Malaya berada di tangga ke-19 dengan nilai pasaran keseluruhan pemain RM34 juta di belakang Thailand (RM45 juta) dan Indonesia (RM44 juta) yang menduduki tempat ke-14 dan 15.

sumber:- BH

Satu lagi gergasi Asia Tenggara, Vietnam di kedudukan ke-22 daripada 24 pasukan bertanding dengan nilai pasaran 26 pemainnya berjumlah RM32 juta.