Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sudah mendapat jawapan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung surat bantahan mengenai mutu pengadilan aksi final Piala Malaysia 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabri Abas berkata, jawapan surat bantahan itu diterima pihaknya pada minggu terakhir bulan lalu selepas Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Jelas Mohd Sabri yang enggan menjelaskan butiran yang terkandung dalam surat berkenaan, jawapan itu sekurang-kurangnya dapat menamatkan penantian pihaknya bagi mengetahui jawapan yang diberikan badan induk bola sepak negara berhubung perkara itu.
“Mengenai isi kandungan dalam surat itu kami tidak mahu dedahkan, biarlah hanya pihak kami sahaja yang tahu, lagipun walau apa pun jawapan, ia tidak akan sesekali dapat mengubah keputusan perlawanan itu.
“Namun sekurang-kurangnya ia dapat menjadi pengajaran kepada semua yang terlibat dalam memastikan kualiti Liga Malaysia terus meningkat,” ujar Mohd Sabri ketika dihubungi.
Terdahulu pada aksi final membabitkan pertemuan TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 8 Disember lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, pengadil perlawanan dari Selangor, S Logeswaran menjadi sasaran apabila beberapa keputusan yang dibuatnya mencetuskan kontroversi.
sumber:- BH
Pada perlawanan yang dimenangi JDT 3-1 itu, sepakan penalti yang diberikan kepada lawan seawal minit keenam mencetuskan perdebatan kerana dilihat terlalu mudah manakala sepakan penalti kepada TFC sukar diberikan biarpun kekasaran jelas dilakukan pemain lawan.